
PRN MELAKA: PENGALAMAN JADI UKURAN, BUKAN SEKADAR USIA – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 31 Oktober – Pengalaman dan kecekapan menguruskan masyarakat menjadi antara elemen penting dalam menentukan kemampuan seseorang pemimpin untuk menyantuni keperluan rakyat daripada pelbagai lapisan umur.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, penyertaan calon muda dalam pilihan raya sememangnya dialu-alukan, namun pengalaman juga perlu diambil kira bagi memastikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dapat dilaksanakan dengan baik.
Menurutnya, usia bukan penghalang untuk seseorang menawarkan diri sebagai pemimpin, sebaliknya pengalaman dan kecekapan perlu bergerak seiring dalam menguruskan masyarakat.
“Dalam pentas demokrasi di Melaka ini, kita mengalu-alukan pencalonan orang muda ataupun tua, tetapi dalam urusan menguruskan masyarakat, pengalaman juga menjadi panduan untuk mengukur kecekapan kita menguruskan masyarakat.
“Bukan orang muda tak boleh, tetapi orang muda mesti ada pengalaman yang baik supaya kita dapat menguruskan masyarakat ini daripada pelbagai lapisan umur, daripada orang muda sehinggalah kepada warga emas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas selesai proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N02 Tanjung Bidara di Dewan Datuk Kapt (B) Hj. Ab. Karim, Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cabaran daripada calon muda yang menentangnya di kerusi berkenaan.
“Jadi, kalau mahu menuju kepada kerusi pentadbiran yang baik, dia mesti menggabungkan di antara pengalaman dan juga kecekapan kita menguruskan masyarakat.
“Saya mengalu-alukan orang muda supaya dia dapat menimba pengalaman yang lebih baik. Tak salah orang muda bertanding tapi jangan salah pilih,” katanya.
Pada PRN kali ini, Ab Rauf mempertahankan kerusi DUN Tanjung Bidara dalam pertandingan dua penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Yunazri Mustamiri, 36.
Pada PRN Melaka Ke-15 pada 2021, Ab Rauf memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 364 undi selepas menewaskan calon PH, Zainal Hassan dan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Dalam pada itu, Ab Rauf turut merakamkan penghargaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) atas kelancaran proses penamaan calon yang disifatkannya teratur dan pantas.
“Saya ucap terima kasih kepada SPR yang telah menjalankan urusan pendaftaran pencalonan ini begitu teratur dan terbaik. Saya lihat bahawa masa pun agak tepat dan cepat,” katanya.
Beliau yang menerima nombor dua sebagai nombor calon pada kertas undi turut menceriakan suasana sidang media dengan menyampaikan serangkap pantun.
“Kalau tuan pergi utara, tengok mencari sarang tempua. Saya calon Tanjung Bidara, silalah undi nombor dua,” katanya disambut sorakan penyokong.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


