PRN MELAKA: AHMAD ZAHID CADANG AB RAUF KEKAL KETUA MENTERI JIKA BN BENTUK KERAJAAN

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

TANJUNG BIDARA 31 Oktober – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi akan mencadangkan supaya Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh meneruskan khidmat sebagai Ketua Menteri Melaka sekiranya gabungan itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Bagaimanapun, beliau berkata cadangan berkenaan tidak bermaksud mendahului kuasa Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka dalam menentukan pelantikan Ketua Menteri.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata mandat untuk menentukan kepimpinan negeri kini diserahkan kepada rakyat melalui proses pilihan raya.

“Kita serahkan mandat ini semula kepada rakyat dan rakyat telah meletakkan di hati dan minda mereka untuk bersama-sama dengan kita.

“Saya harapkan ini benar-benar akan dapat diterjemahkan dan kita harap selepas ini kita akan dapat membentuk kerajaan Barisan Nasional bersama-sama rakan strategik kita.

“Dengan tidak mendahului kuasa-kuasa yang ada pada Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka, tetapi saya sebagai Pengerusi Barisan Nasional akan mencadangkan bahawa Datuk Seri Rauf akan terus menjalankan khidmat sebagai Ketua Menteri Melaka, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengiringi Ab Rauf pada proses penamaan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.02 Tanjung Bidara di Dewan Datuk Kapt (B) Hj. Ab. Karim, Kompleks Japerun Tanjung Bidara, di sini, hari ini.

Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka mempertahankan kerusi berkenaan dalam pertandingan dua penjuru menentang calon Pakatan Harapan (PH), Mohd Yunazri Mustamiri.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut meminta pengundi menilai prestasi pentadbiran Kerajaan Negeri Melaka yang diterajui Ab Rauf sebagai antara pertimbangan dalam menentukan pilihan mereka.

Pada PRN Melaka Ke-15 pada 2021, BN berjaya membentuk Kerajaan Negeri selepas memenangi 21 daripada keseluruhan 28 kerusi DUN.

PRN Melaka Ke-16 menetapkan 14 November sebagai hari pengundian, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

189
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: PENGALAMAN JADI UKURAN, BUKAN SEKADAR USIA – AB RAUF
Next post PRN MELAKA: DENESH CABAR FAIRUL NIZAM DI ASAHAN