HELMY ‘CETUS’ INISIATIF PENGURUSAN JENAZAH PERCUMA

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

DUYONG 10 November – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong melaksanakan pendekatan amat menarik dan  efisien dalam menjaga kebajikan anak kariah apabila menjadi satu-satunya kawasan DUN yang menyediakan pengurusan jenazah percuma menerusi semua masjid sejak 2024.

Calon Barisan Nasional kerusi DUN N.21 Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem berkata, inisiatif itu dilaksanakan di kesemua empat masjid dalam kawasan berkenaan bagi memastikan keluarga waris tidak terbeban dengan kos pengurusan jenazah apabila berlaku kematian.

Mohd Noor Helmy yang juga calon nombor 2 DUN Duyong berkata, empat masjid tersebut ialah Masjid Al-Wahab Permatang Duyong, Masjid Fathur Rahman Pengkalan Rama, Masjid Al-Abrar Semabok dan Masjid Laksamana Hang Tuah.

“Dalam konteks pengurusan jenazah memang ada masjid yang mengambil tanggungjawab melakukan pengurusan jenazah tetapi di Duyong satu-satunya DUN di dalam Malaysia yang semua masjidnya menanggung pengurusan untuk anak-anak kariah.

“Pelaksanaan inisiatif yang dimulakan sejak dua tahun lalu itu memberi manfaat kepada ratusan keluarga, sekali gus membantu meringankan beban kewangan mereka ketika berdepan kehilangan ahli keluarga,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Katanya, pelaksanaan inisiatif itu membuktikan bahawa usaha membelanjakan dana masjid untuk kebajikan masyarakat tidak semestinya menjejaskan kedudukan kewangan institusi sebaliknya berupaya meningkatkan kepercayaan orang ramai untuk terus menyumbang.

“Mengambil contoh Masjid Al-Abrar sebelum itu merekodkan pendapatan kira-kira RM310,000 kemudiannya bertambah kepada RM600,000 pada 2025 selepas pelaksanaan pengurusan jenazah percuma.

“Ini menunjukkan apabila kita menggunakan wang yang ada untuk memberi manfaat kepada masyarakat, ia turut membuka ruang kepada lebih banyak sumbangan dan rezeki.

“Selain kita tidak boleh takut untuk berbelanja kerana tujuan orang ramai menyumbang adalah supaya wang itu digunakan bukan disimpan,” katanya.

Jelasnya, beliau berharap pendekatan berkenaan bukan sahaja dapat diperluaskan ke seluruh Melaka tetapi juga negeri lain kerana masjid bukan hanya berperanan sebagai pusat ibadah tetapi perlu menjadi institusi yang prihatin terhadap keperluan dan kebajikan anak kariah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

258
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: TOK RAUF INGATKAN PENGUNDI NILAI KEMATANGAN CALON