
BN MAHU TERUSKAN MOMENTUM PEMBANGUNAN MELAKA
DUYONG 10 November – Prestasi ekonomi negeri yang semakin positif di bawah pentadbiran Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh menjadi antara sandaran Barisan Nasional (BN) dalam usaha mendapatkan mandat baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkembangan itu dapat dilihat menerusi peningkatan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), penurunan kadar pengangguran serta peningkatan jumlah kehadiran pelancong ke Melaka.
Katanya, pencapaian tersebut perlu difahami rakyat supaya kesinambungan perancangan pembangunan negeri dapat diteruskan sekiranya BN diberikan mandat sekali lagi untuk mentadbir Melaka.
“Saya yakin calon-calon BN yang diketengahkan mempunyai kelayakan untuk menjadi wakil rakyat dan tidak akan menghampakan pengundi di kawasan masing-masing.
“Pengundi perlu faham mengapa mereka harus memilih BN, Melaka sekarang ini berada dalam keadaan baik di bawah kepimpinan Ketua Menteri kini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi walkabout bersama penyandang kerusi N.21 Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Kampung Durian Daun, di sini, semalam.
Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berharap pengundi Melaka memberikan kepercayaan kepada semua calon BN bagi memastikan momentum pembangunan dan kemajuan negeri dapat diteruskan.
“Kita mahu perancangan yang sudah disusun diberikan mandat sekali lagi supaya kita dapat membawa Melaka pergi lebih jauh,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

