
HAMPIR 90 PERATUS ADUAN WRUR MACHAP JAYA SELESAI
MACHAP JAYA 10 November – Hampir 90 peratus daripada 200 aduan rakyat yang dikumpulkan menerusi Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap Jaya pada April lalu telah berjaya diselesaikan.
Calon Barisan Nasional (BN) N.08 DUN Machap Jaya Datuk Ngwe Hee Sem berkata, pencapaian itu membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memastikan setiap permasalahan rakyat bukan sekadar didengar, sebaliknya diberikan tindakan penyelesaian.
Katanya yang juga calon nombor 1, pelaksanaan program cetusan idea Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh itu menjadi antara pendekatan berkesan untuk mendekatkan Kerajaan Negeri dengan masyarakat, khususnya dalam mengenal pasti keperluan penduduk di peringkat akar umbi.
“Kejayaan menyelesaikan sebahagian besar aduan turut mencerminkan kesungguhan Kerajaan Negeri dalam memastikan kebajikan rakyat terus diberikan perhatian menerusi tindakan agensi berkaitan.
“Pada April lepas, menerusi program WRUR, kita mengumpulkan 200 aduan rakyat di DUN Machap Jaya dan hampir 90 peratus daripadanya sudah berjaya diselesaikan.
“Inilah Kerajaan Negeri yang prihatin dan sentiasa menjaga kebajikan rakyat,”katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada lawatan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan DUN Machap Jaya di Taman Lesung Batu Impian, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengerusi BN Parlimen Alor Gajah Datuk Dr. Fairul Nizam Roslan serta kenamaan lain.
Menurut Hee Sem, pendekatan turun padang menerusi WRUR memberi peluang kepada wakil rakyat dan agensi kerajaan mendengar sendiri keluhan masyarakat, sekali gus memahami isu yang memerlukan tindakan segera.
“Usaha berterusan menyelesaikan aduan dan permasalahan penduduk perlu menjadi keutamaan bagi memastikan setiap inisiatif pembangunan kerajaan negeri dapat dirasai masyarakat, selaras dengan matlamat meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

