
ABDUL RAZAK KOMITED PENUHI KEPERLUAN RAKYAT
TELOK MAS 10 November – Penambahbaikan infrastruktur antara keperluan yang disuarakan penduduk setempat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Telok Mas sepanjang tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Penyandang kerusi DUN Telok Mas, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, perkara berkenaan antara isu yang dibangkitkan ketika beliau turun padang bertemu penduduk dalam tempoh berkempen.
“Ada perkara baharu yang disuarakan penduduk untuk ditambah baik antara berkaitan infrastruktur dan kita mengambil maklum untuk tindakan.
“Infrastruktur ini memerlukan peruntukan yang besar jadi ia tidak datang sekaligus untuk diselesaikan misalnya seperti jalan-jalan kampung dan longkang,” katanya.
Abdul Razak berkata demikian pada sidang media selepas Program Pentas Gelombang Biru Barisan Nasional Melaka DUN Telok Mas di Bilik Gerakan BN DUN Telok Mas, di Bukit Punggur, di sini, semalam.
Beliau berkata, seperti sebelum ini peruntukan bagi kerja pembangunan dan penyelenggaraan infrastruktur di kawasan itu turut melibatkan kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Pasti perkara-perkara ini kita mengambil perhatian demi keselesaan dan keselamatan penduduk selain kerosakan infrastruktur yang bersifat mendesak akan diberi perhatian serta tindakan segera.
“Kekangan peruntukan menjadi cabaran utama dalam memastikan semua keperluan pembangunan infrastruktur di DUN Telok Mas dapat dipenuhi sepenuhnya,” katanya.
Menurut Abdul Razak, dalam tempoh berkempen ini beliau mengambil kesempatan untuk melihat balik sebarang penambahbaikan yang boleh dilakukan apabila terus diberi mandat.
“Saya mengulangi rutin saya selama lima tahun iaitu melihat kembali keperluan infrastruktur dan sebagainya malah untuk kebajikan pula saya lakukan ziarah kasih bersama-sama dengan masyarakat,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


