
PRN MELAKA: LERAI KESESAKAN BANDAR HILIR JADI AGENDA JASMINE
BANDA HILIR 10 November – Kesesakan lalu lintas di kawasan tumpuan pelancongan antara isu utama yang mahu ditangani calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar Hilir, Jasmine Lok, bagi memastikan kelancaran pergerakan penduduk dan pengunjung.
Jasmine yang juga calon nombor 1 kerusi berkenaan berkata, kedudukan Bandar Hilir sebagai antara destinasi pelancongan utama di Melaka menyebabkan isu berkenaan memerlukan perhatian serius, terutama ketika jumlah pengunjung meningkat.
Menurutnya, beberapa lokasi pelancongan popular termasuk Kota A’Famosa, Bangunan Stadthuys dan Bukit Melaka terletak dalam kawasan DUN berkenaan, sekali gus menjadikan pengurusan aliran trafik sebagai antara cabaran yang perlu diberi perhatian.
Katanya, penyelesaian terhadap isu itu memerlukan penelitian dan perbincangan bersama penduduk serta peniaga setempat bagi memastikan langkah yang dirancang mengambil kira kepentingan semua pihak.
“Ini satu masalah yang agak kritikal dan perlu diberi perhatian untuk kita selesaikan dalam tempoh ditentukan,” katanya kepada pemberita selepas lawatan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke DUN Bandar Hilir di Bilik Gerakan DUN Bandar Hilir, di sini, pada Ahad.
Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong.
Jasmine berkata, isu kesesakan lalu lintas itu tidak boleh diselesaikan dalam tempoh sehari, sebaliknya memerlukan pendekatan berperingkat menerusi pertemuan dan perbincangan secara langsung dengan penduduk serta peniaga.
“Ini adalah disebabkan Bandar Hilir merupakan jantung di dalam Kota Melaka sebab banyak tempat pelancongan memang tertumpu dalam DUN Banda Hilir,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

