PRN MELAKA: 9,769 WARGA TENTERA, PASANGAN LAYAK UNDI AWAL

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

SUNGAI UDANG 10 November – Seramai 9,769 warga Tentera Darat Malaysia (TDM) dan pasangan layak menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16, hari ini.

Jumlah itu membabitkan seramai 7,868 anggota tentera dan 1,901 pasangan yang layak mengundi, sekali gus memperlihatkan penyertaan warga pertahanan negara dalam proses demokrasi bagi menentukan wakil rakyat di negeri ini.

Cawangan Komunikasi Strategik (CKS), Markas Tentera Darat Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, pengundi awal terdiri daripada warga tentera dan pasangan yang bertumpu di empat kawasan Parlimen iaitu Masjid Tanah, Alor Gajah, Tangga Batu dan Hang Tuah Jaya.

Taburan itu melibatkan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Lendu, Durian Tunggal, Sungai Udang dan Bukit Katil.

Menurut kenyataan itu, pelaksanaan pengundian awal memberi ruang kepada anggota tentera dan pasangan yang layak untuk menunaikan hak sebagai warganegara, di samping memastikan tanggungjawab pertahanan negara terus dilaksanakan.

“Tentera Darat Malaysia komited memastikan warga TDM terus melaksanakan peranan sebagai anggota pertahanan negara selain memenuhi kewajipan sebagai warganegara yang bertanggungjawab, seiring peranan TDM sebagai institusi pertahanan negara,” kata kenyataan tersebut.

TDM turut menegaskan kepentingan mengekalkan kesiapsiagaan operasi anggota, selain memperkukuh profesionalisme dan memupuk tanggungjawab sivik dalam kalangan warga tentera.

Hari pengundian PRN Melaka ke-16 pula dijadual berlangsung pada 14 November ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

364
Kongsi :
Previous post DANA RM50 JUTA: UMNO SEDIA DIAUDIT BILA-BILA MASA