
DANA RM50 JUTA: UMNO SEDIA DIAUDIT BILA-BILA MASA
PANTAI KUNDOR 10 November – UMNO bersedia akaun kutipan sumbangan bagi melunaskan denda RM50 juta mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak diaudit pada bila-bila masa.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, rekod transaksi termasuk sumbangan serendah RM20 juga boleh dikemukakan.
Mengulas lanjut beliau berkata, semua sumbangan disalurkan melalui satu akaun khas yang diumumkan sejak awal kutipan dilaksanakan.
Menurut beliau, parti itu tidak mempunyai perkara yang perlu ditakutkan sekiranya proses audit dijalankan terhadap akaun berkenaan.
“Saya dah keluarkan kenyataan. Kita bersedia untuk diaudit pada bila-bila masa sebab tidak ada apa yang kita nak takutkan,” katanya pada sidang media sempena Pentas Gelombang Biru N.12 Pantai Kundor di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Taman Tangga Batu Perdana, di sini, semalam.
Hadir sama, Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan; Pengarah Pilihan Raya BN DUN Pantai Kundor, Datuk Noor Azman Hassan dan calon BN kerusi berkenaan, Datuk Tuminah Kadi.
Asyraf Wajdi menjawab pertanyaan mengenai gesaan supaya kutipan dana bagi pembayaran denda Najib diaudit.
“Daripada awal lagi kita buat pengumuman bahawa akaun ini hanya satu sahaja, semuanya akan melalui akaun ini.
“Kalau nak audit pun tidak ada masalah sebab kita boleh tunjukkan macam mana transaksi sekecil-kecil RM20 daripada ahli itu,” katanya.
Tegasnya, UMNO tidak mempunyai masalah untuk membolehkan akaun berkenaan diaudit, namun menuntut layanan adil terhadap usaha kutipan dana parti itu.
“Tetapi harus berlaku adil, kenapa bila Barisan Nasional dan UMNO buat hendak diaudit, masa DAP buat dulu tak diaudit?” soalnya tanpa memperincikan kutipan DAP yang dimaksudkan.
Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua menggesa Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia mengaudit sumbangan berkenaan bagi memastikan dana diperoleh secara sah dan bebas daripada pengubahan wang haram.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

