
PRN MELAKA: ‘WINNING MENTALITY’ GELOMBANG BIRU PADA TAHAP TINGGI – AB RAUF
TANJUNG BIDARA 10 November – Semangat winning mentality dalam kalangan jentera Barisan Nasional (BN) Melaka kini berada pada tahap tinggi menjelang hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, 14 November ini.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, gerak kerja jentera parti bersama rakan strategik daripada Perikatan Nasional (PN) telah diperkemas dengan pelbagai kelemahan dikenal pasti dan diperbaiki sepanjang tempoh berkempen.
Beliau yang juga Pengarah PRN Melaka Ke-16 berkata, segala persiapan dilakukan bagi memastikan jentera BN berada dalam keadaan lebih mantap untuk menghadapi hari pengundian.
“Pastinya tahap winning mentality yang ada pada kita berada pada tahap sudah bersiap sedia untuk menunggu hari mengundi.
“Yang longgar telah kita ketatkan, yang bergoyang telah kita tegakkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Pentas Gelombang Biru DUN Tanjung Bidara di Bilik Gerakan BN Pasir Gembur, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Mohd Hasnol Ayub; Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap bekas Ahli Parlimen Muar, Datuk Seri Razali Ibrahim; Ahli Parlimen Pendang merangkap Ahli Majlis Tertinggi PAS, Datuk Haji Awang Hashim serta kenamaan lain.
Ab Rauf yang juga calon nombor 2 bagi kerusi N.02 Tanjung Bidara berkata, seluruh jentera kini telah dipersiap dan diperkemaskan bagi memastikan persiapan menghadapi hari pengundian berjalan lancar.
“Pastinya kita akan tampil lebih mantap demi memastikan kemenangan Gelombang Biru pada hari pengundian nanti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


