
PRN MELAKA: ‘PENGUNDI AWAL BERILAH PELUANG SAYA JADI SUARA SUNGAI UDANG’ – RAIS
SUNGAI UDANG 9 November – Calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Sungai Udang, Datuk Rais Yasin merayu pengundi awal supaya memberikan peluang kepadanya untuk menjadi suara rakyat dan berkhidmat kepada masyarakat di kawasan berkenaan.
Beliau yang juga calon nombor 3 kerusi berkenaan berkata, sokongan pengundi awal yang akan menunaikan tanggungjawab esok amat penting bagi membolehkannya berkhidmat kepada penduduk N11 Sungai Udang.
“Saya mengambil kesempatan untuk merayu dan memohon undi, terutama kepada abang-abang dan kakak-kakak saya yang akan mengundi awal esok di N11 DUN Sungai Udang.
“Semoga berilah ruang dan peluang kepada saya supaya saya dapat menjadi suara anda dan meneruskan perkhidmatan di N11 DUN Sungai Udang ini, insya-Allah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas Ceramah Pentas Gelombang Biru di Bilik Gerakan Utama Parlimen Tangga Batu di Bandar Baru Sungai Udang, di sini, hari ini.
Hadir sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad serta kenamaan lain.
Rais berkata, Pentas Gelombang Biru dilaksanakan secara serentak di semua 28 kawasan DUN di Melaka dengan menghimpunkan pemimpin peringkat nasional dan tempatan bagi menyampaikan mesej kekuatan kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN).
Beliau menyifatkan sambutan orang ramai terhadap program berkenaan sebagai amat menggalakkan dan berharap semangat Gelombang Biru akan mewarnai Sungai Udang dapat seterusnya diperluaskan ke seluruh negara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

