DUA PRN, DUA PENGALAMAN MENGUNDI SELEPAS BERSALIN

Masa Membaca:1 Minit, 10 Saat

SUNGAI UDANG 10 November – Lima tahun lalu, Nurul Atikah Syuhada Zainal mengundi awal ketika masih berpantang selepas melahirkan anak kedua dan hari ini, dia kembali sekali lagi menunaikan tanggungjawab itu dengan membawa anak ketiganya yang baru berusia 49 hari.

Bagi wanita berusia 31 tahun itu, baru selesai menjalani tempoh berpantang bukan penghalang untuk hadir mengundi awal pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.

Sebaliknya, pengalaman pada PRN 2021 menjadikan urusan kali ini lebih biasa buat dirinya, meskipun kini perlu menguruskan seorang lagi bayi kecil.

“Inilah tanggungjawab saya untuk negara, sebab itu saya datang pagi-pagi supaya anak tidaklah terlalu panas lagi pun ini adalah pengalaman kedua saya,” katanya ketika ditemui di pusat mengundi awal Sekolah Kebangsaan (SK) Kem Terendak 1, Kem Terendak, pagi ini.

Isteri kepada anggota tentera 10 Briged Para itu berkata, dia memilih datang seawal pagi bagi mengelakkan cuaca panas, lebih-lebih lagi apabila bayi lelakinya mengalami demam.

Menurut Nurul Atikah, kehadirannya kali ini hanya beberapa hari selepas selesai menjalani tempoh berpantang anak ketiga.

“Anak kedua sebelum ini pun pada PRN 2021 saya mengundi awal selepas beberapa hari habis pantang bersalin,” katanya.

Kehadirannya membawa kisah tersendiri dalam proses pengundian awal, apabila dua kelahiran dalam keluarganya berlaku hampir dengan dua pilihan raya negeri.

Nurul Atikah antara 9,769 anggota tentera bersama pasangan yang layak mengundi awal pada PRN Melaka ke-16, hari ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

107
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: 817 PEGAWAI, ANGGOTA POLIS LAYAK UNDI AWAL DI IPK
Next post PRN MELAKA: RAIS JANJI 30 PERATUS PERUNTUKAN SUNGAI UDANG UNTUK KEBAJIKAN, AKTIVITI TENTERA