
PRN MELAKA: RAIS JANJI 30 PERATUS PERUNTUKAN SUNGAI UDANG UNTUK KEBAJIKAN, AKTIVITI TENTERA
SUNGAI UDANG 10 November – Sebanyak 30 peratus daripada peruntukan untuk Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang akan dikhususkan bagi kebajikan dan aktiviti warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekiranya calon Barisan Nasional (BN), Datuk Rais Yasin diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Rais berkata, komitmen itu merupakan antara tawaran khusus dalam aku janji yang dirangka bagi memenuhi keperluan masyarakat setempat, khususnya warga tentera yang menjadi sebahagian besar komuniti di kawasan berkenaan.
Menurutnya, peruntukan berkenaan akan disalurkan menerusi Jawatankuasa Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) bagi menyokong kebajikan serta aktiviti anggota tentera, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan veteran ATM.
“Insya-Allah, jika saya diberi mandat, ruang dan peluang untuk menjadi wakil rakyat di N11 DUN Sungai Udang ini, saya akan khaskan 30 peratus daripada peruntukan yang diberikan Kerajaan Negeri kepada JAPERUN untuk kebajikan dan aktiviti warga tentera itu sendiri.
“Ini termasuk BAKAT, iaitu badan isteri tentera, dan juga veteran-veteran,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Ceramah Pentas Gelombang Biru di Bilik Gerakan Utama Parlimen Tangga Batu di Bandar Baru Sungai Udang, di sini, semalam.
Hadir sama, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad serta kenamaan lain.
Beliau berkata, komitmen itu mencerminkan usaha untuk memastikan kebajikan warga tentera dan keluarga mereka terus diberi perhatian, selari dengan kedudukan Sungai Udang yang mempunyai komuniti pertahanan yang besar.
Dalam pada itu, Rais berkata, beliau juga akan terus memperjuangkan agar penglibatan anggota tentera dalam pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai Ahli Majlis akan diteruskan sekiranya terus diberi peluang sebagai wakil rakyat.
Menurutnya, sejak tiga tahun lalu, pentadbiran Kerajaan Negeri telah melantik Ahli Majlis dalam kalangan anggota tentera dan Melaka merupakan negeri pertama melaksanakan inisiatif tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

