SPR BELUM TERIMA LAPORAN PENUH BERKAITAN ISU SERANGAN SIBER

Masa Membaca:1 Minit, 0 Saat

SUNGAI UDANG 10 November – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan laman web miliknya tidak diserang ketika pelaksanaan pilihan raya.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, laman web suruhanjaya itu mempunyai peranan penting dalam urusan pelaksanaan pilihan raya.

“Kita bekerjasama dengan semua autoriti yang berkaitan untuk memastikan supaya perkara tersebut tidak berlaku, insya-Allah,” katanya pada sidang media pada Hari Pengundian Awal di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak di sini, hari ini.

Ketika ditanya mengenai serangan siber terhadap laman web suruhanjaya berkenaan dipercayai berlaku pada awal pagi tadi, Ramlan berkata, beliau belum menerima laporan penuh mengenai perkara berkenaan.

Sehubungan itu, katanya, SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat bagi memberikan penjelasan lanjut.

“Saya tak dapat laporan penuh lagi berkenaan dengan perkara tersebut dan insya-Allah, SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi dalam tempoh terdekat,” katanya.

Beliau turut menyuarakan harapan agar laman web SPR terhindar daripada serangan siber sepanjang urusan pilihan raya berlangsung.

“Kita sama-sama berdoa agar serangan siber itu tidak menyerang laman web kita kerana ia amat penting dalam kita melaksanakan pilihan raya ini,” katanya.

“Kenyataan rasmi mengenainya akan dikeluarkan secepat mungkin,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

91
Kongsi :
Previous post MELVIN MAHU LAKSANA TIGA AGENDA UTAMA DALAM 100 HARI, BUKTI KPI