TOK AJAK TAK PERNAH BERHENTI BERKHIDMAT

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

TELOK MAS 10 November – Tidak meninggalkan penduduk Telok Mas meskipun pernah tewas pada pilihan raya menjadi bukti komitmen penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman untuk terus berkhidmat kepada masyarakat.

Katanya, kekalahan ketika itu tidak pernah mematahkan semangatnya untuk mendekati masyarakat malah terus memberikan khidmat kepada penduduk sepanjang tempoh 22 bulan meskipun tidak bergelar wakil rakyat.

Abdul Razak yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Kota Melaka berkata, beliau tidak mahu pengalaman kekalahan pada 2018 berulang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16, justeru mengingatkan jentera parti supaya tidak mengambil mudah sokongan yang ditunjukkan penduduk sepanjang tempoh berkempen.

“Kita tidak mahu lagi berlaku sejarah hitam yang mana pada 2018 kita berarak ke setiap PDM, setiap kampung tetapi akhirnya hari pengundian kita kecundang.

“Kerana kita yakin semua orang Telok Mas ini sayang Telok Mas dan walaupun ketika itu kalah saya tidak hilangkan diri atau pun tinggalkan Telok Mas.

“Alhamdulillah kerana tidak pernah lari daripada tanggungjawab itu sebabnya diizinkan pada 20 November 2021 kita mentadbir semula DUN Telok Mas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada ceramah Pentas Gelombang Biru Barisan Nasional Melaka DUN Telok Mas di Bilik Gerakan BN DUN Telok Mas, di Bukit Punggur, di sini semalam.

Abdul Razak yang juga calon nombor dua itu berkata, tanggungjawab sebagai wakil rakyat tidak seharusnya terhad ketika musim pilihan raya sahaja, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan demi memastikan kebajikan dan keperluan masyarakat sentiasa diberi perhatian.

“Kita bekerja tidak henti-henti dan tidak berpolitik sepanjang masa yang mana selepas pilihan raya perkhidmatan kepada rakyat perlu diteruskan.

“Misalnya walaupun tiada jawatan pada 2018 tetapi kita teruskan juga memberi perkhidmatan,” katanya.

Jelasnya, pendekatan sama turut dilaksanakan ketika menjadi wakil rakyat apabila tidak pernah membezakan penduduk berdasarkan fahaman politik .

“Kerana bila kita mentadbir dan menjadi wakil rakyat tidak kira siapa tanggungjawab harus dilaksanakan.

“Tidak kira, parti UMNO atau PAS saya tidak pernah membezakan, pengerusi masjid dikekal walaupun ketika itu belum menjadi rakan strategik

“Ini kerana kita tidak mengamalkan politik kebencian sebaliknya mengamalkan politik perkhidmatan,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 1,500 penduduk hadir bagi mendengar ceramah dan menyatakan sokongan kepada parti sempena PRN Melaka Ke-16.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

143
Kongsi :
Previous post PENTAS GELOMBANG BIRU SERENTAK DI 28 DUN, BUKTI KESERASIAN KERJASAMA BN-PN
Next post SPR SASAR 95 PERATUS KELUAR MENGUNDI AWAL PRN MELAKA