
AURA GURU TOK LI, PIKAT MASYARAKAT TIONGHOA PAYA MENGKUANG
KUALA LINGGI 10 November – Bukan populariti semata-mata, sebaliknya keperibadian beliau yang cepat mesra, sikap merendah diri dan latar belakang sebagai seorang pendidik menjadi antara faktor calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.01 Kuala Linggi, Datuk Rosli Abdullah, disenangi masyarakat Tionghoa di Paya Mengkuang.
Keakraban yang terjalin sekian lama itu jelas terpancar apabila kehadiran calon nombor tiga berkenaan yang lebih mesra disapa Tok Li disambut dengan tepukan gemuruh dan sorakan masyarakat setempat ketika menghadiri program kemasyarakatan anjuran komuniti berkenaan di sebuah tokong pada Jumaat.
Lebih daripada sekadar kunjungan untuk berkempen, kehadiran Rosli memperlihatkan hubungan mesra yang telah lama dibina menerusi interaksi dan penglibatan beliau dalam pelbagai aktiviti masyarakat tanpa mengira latar belakang kaum atau agama.
Rosli berkata, kehadirannya ke program berkenaan sebenarnya tidak dirancang yang pada mulanya untuk memenuni jemputan komuniti setempat yang ketika itu turut mengadakan upacara keagamaan.
Menurutnya, hubungan akrab bersama masyarakat Tionghoa di Paya Mengkuang bukan sesuatu yang baharu, malah telah terjalin sejak beliau memegang tanggungjawab sebagai Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri.
“Ketika menggalas tanggungjawab itu, saya kerap berurusan dengan masyarakat Tionghoa di sini, khususnya berkaitan hal pendidikan anak-anak mereka.
“Saya sentiasa peka dengan perkembangan pendidikan anak-anak mereka dan dalam masa sama turut aktif menyertai pelbagai aktiviti bersama komuniti termasuk meraikan sambutan bulan kebangsaan.
“Bagi saya, hubungan baik seperti ini perlu terus dipelihara kerana ia menjadi asas kepada perpaduan dan keharmonian masyarakat,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, hubungan yang dibina atas dasar kepercayaan dan saling menghormati itu amat bermakna, lebih-lebih lagi dalam usahanya mempertahankan kerusi DUN Kuala Linggi yang dimenanginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-15 lalu.
Jelasnya, sokongan masyarakat pelbagai kaum menjadi suntikan semangat untuk beliau terus berkhidmat dan memastikan pembangunan serta kebajikan seluruh penduduk Kuala Linggi diberikan perhatian sewajarnya.
Sehubungan itu, Rosli berharap masyarakat Tionghoa di Paya Mengkuang terus memberikan sokongan kepadanya bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN), sekali gus mengekalkan Kuala Linggi sebagai kubu biru pada hari pengundian 14 November ini.
Katanya, keakraban yang telah lama terjalin itu diharap menjadi asas untuk terus memperkukuh perpaduan dan membawa Kuala Linggi ke arah pembangunan yang lebih baik.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

