PRN MELAKA: MENANG DENGAN TAWARAN, BUKAN SERANGAN BURUKKAN LAWAN – RAIS

Masa Membaca:1 Minit, 31 Saat

SUNGAI UDANG 10 November – Semua calon yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka digesa mengutamakan tawaran pembangunan dan kebajikan rakyat berbanding menggunakan pendekatan kempen yang memburukkan pihak lawan.

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, Datuk Rais Yasin berkata, setiap calon perlu mengemukakan tawaran yang realistik dan mampu dilaksanakan sekiranya diberikan mandat oleh pengundi.

Menurutnya yang juga calon nombor 3 kerusi berkenaan, kempen pilihan raya tidak seharusnya dicemari politik kotor, termasuk tindakan memburukkan pihak lain, menghasut atau menggunakan serangan peribadi untuk mempengaruhi sokongan rakyat.

“Apa yang saya boleh galakkan kepada sahabat-sahabat saya dan juga diri saya, keluarkan tawaran anda. Tidak kira anda daripada parti mana, tawarkan apa yang anda nak tawarkan kepada rakyat, yang pasti anda mesti tunaikan. Janji mesti dikotakan dan ditepati.

“Yang penting tawaran itu mestilah ‘doable’ atau mampu dilaksanakan sebagai wakil rakyat dan itulah yang saya lakukan menerusi lapan tawaran akujanji kepada pengundi Sungai Udang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kem Terendak, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan menawarkan penyelesaian kepada masalah rakyat lebih wajar diberi keutamaan berbanding strategi kempen yang menjatuhkan imej pihak lawan.

Katanya, Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Melaka juga lebih awal telah mengingatkan jentera Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) supaya tidak memburukkan mana-mana pihak.

“Kita tidak mahu hari ini parti politik kotor yang mempengaruhi rakyat, menghasut dan sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Rais berpandangan pengundi khususnya golongan muda kini semakin bijak menilai dan tidak akan terpengaruh dengan agenda politik kotor, termasuk penyebaran risalah yang memburukkan pihak lawan dari rumah ke rumah.

Beliau berkata, setiap calon perlu menampilkan pendekatan kempen yang matang dengan memberikan tumpuan kepada perkara yang benar-benar mampu dilaksanakan demi kepentingan rakyat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

244
Kongsi :
Previous post DARIPADA ‘CUKUP MAKAN’ KEPADA MAMPU MENYIMPAN, ANAK MUDA MELAKA KEHIDUPAN LEBIH SELESA