PRN MELAKA: JENTERA BN ‘JANGAN TIDUR’, TERUS PERHEBAT GERAK KERJA

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DUYONG 10 November – Jentera Barisan Nasional (BN) perlu terus mempergiatkan gerak kerja sehingga saat akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 bagi memastikan sokongan pengundi diterjemahkan kepada kemenangan pada 14 November ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, seruan supaya jentera parti ‘tidak tidur’ sehingga hari pengundian merupakan analogi bagi menggambarkan kepentingan bekerja keras dan tidak leka sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, jentera parti juga perlu sentiasa peka terhadap perkembangan semasa termasuk gerak kerja dan strategi pihak lawan, bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil untuk menangani sebarang isu yang dibangkitkan.

“Analogi saya ialah kerjalah kuat sampai ke saat-saat terakhir sehingga pengundi-pengundi menterjemahkan undi kepada BN sekali gus memasukkan dalam peti undi.

“Untuk itu jangan leka, jangan rasa selesa serta mudah kerana pola pengundi di Melaka ini sangat berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sesi walkabout bersama penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem di Kampung Durian Daun, di sini, semalam.

Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang berkata, beliau berharap pengundi di Melaka memberikan sokongan dengan mengundi calon BN yang bertanding kerana yakin semua calon mempunyai kelayakan dan kemampuan untuk menjadi wakil rakyat serta tidak akan menghampakan pengundi di kawasan masing-masing.

“Pengundi semakin memahami kenapa mereka perlu memilih Melaka, kerana Melaka dalam keadaan yang baik di bawah kepimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr Ab Rauf Yusoh.

“Yang mana kita dapat melihat Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang bertambah, kadar penganggurannya berkurangan dan kehadiran pelancong ke bumi Melaka semakin meningkat.

“Jadi, saya berharap pengundi daripada Melaka dapat mengundi calon BN yang bertanding kerana mereka semua layak untuk menjadi wakil rakyat selain tidak akan menghampakan pengundi di kawasan masing-masing,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

176
Kongsi :
Previous post AURA GURU TOK LI, PIKAT MASYARAKAT TIONGHOA PAYA MENGKUANG