GELOMBANG BIRU SEMAKIN MENGUAT, SOKONGAN KEPADA CALON BN TERUS MENINGKAT

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

AYER LIMAU 10 November – Momentum sokongan terhadap calon Barisan Nasional (BN) di kawasan Parlimen Masjid Tanah menunjukkan perkembangan semakin positif menjelang hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias berkata, perkembangan itu berdasarkan penelitian serta maklum balas yang diterima pihaknya sepanjang tempoh kempen berlangsung.

Menurutnya, peningkatan sokongan dapat dilihat merentasi pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan warga emas, pertengahan usia dan anak muda khususnya Generasi Z (Gen Z).

Katanya, perkembangan positif itu lebih ketara di tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Lendu, Ayer Limau dan Taboh Naning yang berada di bawah tanggungjawabnya bagi membantu calon-calon BN.

“Bagaimanapun, kita tidak boleh terlalu selesa dengan perkembangan ini. Baki empat hari kempen perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh jentera parti dan calon terutamanya untuk turun padang serta berjumpa seramai mungkin pengundi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Ceramah Pentas Gelombang Biru DUN Ayer Limau di Bilik Gerakan BN Ayer Limau, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Tetap UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah; Ahli Dewan Negara, Senator Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz; calon BN bagi kerusi DUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer serta beberapa kenamaan lain.

Jalaluddin menyeru seluruh jentera BN yang dibantu jentera Perikatan Nasional (PN) supaya terus memperkukuh gerak kerja kempen bagi mengekalkan momentum sokongan sedia ada.

Katanya, usaha berterusan itu penting bagi memastikan calon gabungan strategik berkenaan bukan sahaja memperoleh kemenangan, malah mampu mencatatkan majoriti yang lebih besar pada 14 November ini.

Ceramah yang bermula kira-kira jam 8.30 malam itu mendapat sambutan menggalakkan dengan kehadiran hampir 1,000 orang, termasuk jentera parti dan penduduk sekitar DUN Ayer Limau.

Kehadiran ramai pengunjung itu turut memperlihatkan kemeriahan kempen Gelombang Biru dalam usaha mendekati pengundi menjelang hari pengundian.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

466
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: JENTERA BN ‘JANGAN TIDUR’, TERUS PERHEBAT GERAK KERJA
Next post KESEJAHTERAAN EMOSI WANITA PERLU DIBERI PERHATIAN