
TPM CADANG 10,250 JAWATAN TETAP UNTUK PEGAWAI, KAKITANGAN KEMAS
PANTAI KUNDOR 10 November – Cadangan mewujudkan 10,250 jawatan tetap bagi pegawai dan kakitangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) kini dalam penelitian Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), sekali gus memberi harapan kepada golongan berkenaan untuk menikmati pekerjaan lebih terjamin.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, memorandum dan kertas cadangan berhubung perkara itu sudah dikemukakan kepada Ketua Pengarah JPA lebih enam bulan lalu menerusi saluran kementerian.
Beliau berkata, JPA kini sedang meneliti implikasi kewangan sebelum cadangan berkenaan diputuskan oleh kerajaan.
Menurutnya, cadangan itu membabitkan pewujudan jawatan tetap dengan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), berbanding status pelantikan secara kontrak ketika ini.
“Kita amat berharap agar keputusan dapat dibuat oleh pihak kerajaan dan saya akan terus memantau agar kebajikan dan juga masa depan serta jaminan kepada jawatan-jawatan yang telah dipegang oleh pegawai dan kakitangan KEMAS ini dapat dijadikan sebagai jawatan tetap,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Kakitangan KEMAS Bersama Kepimpinan Tertinggi di Puteri Qashrina Chalet, Pantai Puteri, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah; Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man serta lain-lain kenamaan.
Ahmad Zahid berkata, terdapat kakitangan KEMAS yang telah berkhidmat sehingga 41 tahun, namun tidak menikmati faedah pencen selepas bersara.
Katanya, keadaan itu menjadi antara faktor utama usaha berkenaan perlu diteruskan bagi memastikan kebajikan, masa depan dan jaminan pekerjaan kakitangan terbabit lebih terpelihara.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


