PRN MELAKA: TOK JEZ DIKENALI SUKA BANTU PENDUDUK

Masa Membaca:1 Minit, 20 Saat

SUNGAI RAMBAI 10 November – Calon Barisan Nasional (BN) N.28 Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambat amat dikenali penduduk kawasan itu sebagai seorang yang mudah didekati dan suka membantu orang lain.

Noor Asmah Abdul Rahim, 60, berharap Jezlee Pit atau lebih mesra dipasa ‘Tok Jez’ mengekalkan apa yang dilakukan sekarang dan dapat membawa suara lebih ramai penduduk di Sungai Rambai jika diberi mandat oleh rakyat pada 14 November ini.

“Tok Jez sangat baik orangnya, dia memang suka membantu orang. Sejak dulu kita tengok dia selalu ikut Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh, daripada situ kita nampak personaliti dia.

“Bila sudah dipilih menjadi calon, mestilah kita mahu beliau menang di DUN Sungai Rambai,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini pada Lawatan Ke DUN Sungai Rambai oleh Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan BN DUN Sungai Rambai.

Bagaimanapun, Noor Asmah berkata, antara perkara yang paling diharapkan penduduk setempat ialah usaha menghidupkan semula Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Sungai Rambai bagi memudahkan urusan mendapatkan perkhidmatan kerajaan.

“Kemudahan ini amat diperlukan khususnya golongan warga emas yang berdepan kesukaran untuk berulang-alik ke pejabat kerajaan yang terletak jauh dari kawasan kediaman mereka,” katanya.

Sementara itu, Rubiah Shahrum, 66, berkata, beliau berharap pembangunan di Sungai Rambai dapat dipertingkatkan, termasuk merealisasikan cadangan pembinaan sebuah klinik baharu untuk kemudahan penduduk.

“Tok Jez ini kita lihat sangat bagus. Harapan makcik sebagai penduduk, mahu Sungai Rambai semakin maju.

“Ada yang kata mahu bina klinik baharu di sini, kita penduduk memang mahukan kemudahan itu. RTC Sungai Rambai juga perlu dihidupkan kembali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

218
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: PENGUNDI MUDA MAKIN BIJAK ‘REPORT CARD’ CALON JADI UKURAN