ZAHID HORMATI KEPUTUSAN ANTHONY LOKE LETAK JAWATAN

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

TABOH NANING 10 November – Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi menghormati keputusan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook untuk melepaskan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan susulan perkembangan terbaharu membabitkan pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ahmad Zahid berkata, beliau mengambil maklum dan meneliti kenyataan rasmi berhubung keputusan Loke itu, selain menghormati prinsip yang dipegang ahli politik berkenaan.

Katanya, Loke merupakan seorang pemimpin yang berpegang teguh pada pendiriannya dan keputusan itu perlu dihormati.

“Saya telah baca kenyataan daripada beliau berhubung peletakan jawatan. Beliau seorang yang berprinsip dan beliau memegang kuat pada prinsip itu. Saya ucapkan terima kasih selama beliau berada sebagai anggota Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir merasmikan Program Kemakmuran Pekebun Kecil (PKPK) dan Hari Terbuka RISDA Negeri Melaka 2026 di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), di sini, hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, ketiadaan Loke dalam Jemaah Menteri merupakan satu kehilangan kepada Kabinet, selain mengakui menghargai kerjasama yang terjalin sepanjang mereka berkhidmat bersama dalam pentadbiran kerajaan.

Katanya, kedudukan Loke yang sering berada di sebelah kanannya ketika mesyuarat Kabinet turut menggambarkan hubungan kerja antara mereka sepanjang berada dalam Jemaah Menteri.

“Kebetulan beliau duduk di sebelah kanan saya di dalam mesyuarat Kabinet. Kami (kerajaan) semestinya akan kehilangan beliau dalam Kabinet dan saya ucapkan selamat maju jaya (buat beliau) berada di luar Kabinet,” katanya.

Terdahulu, Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan selaras dengan pendirian DAP berhubung keputusan membenarkan Najib menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah.

Keputusan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Najib memulakan baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi tahanan rumah.

Loke sebelum ini menyatakan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa sebaik sahaja Najib dibenarkan pulang ke kediamannya untuk menjalani baki hukuman tersebut.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

233
Kongsi :
Previous post AHMAD ZAHID JUNJUNG KASIH AGONG, MINTA SEMUA HORMATI KEPUTUSAN PENGAMPUNAN NAJIB
Next post PRN MELAKA: ZAHID HARAP MOMENTUM UNDI AWAL DIBAWA KE 14 NOVEMBER