
PRN MELAKA: RM14.68 BILION PELABURAN, 15 JUTA PELANCONG JADI TARUHAN BN
BANDARAYA MELAKA 11 November – Pencapaian sektor pelancongan dan pelaburan yang memberangsangkan sepanjang tiga tahun pentadbiran Kerajaan Negeri menjadi antara sandaran Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Pengerusi MCA Melaka, Datuk Wira Lim Ban Hong berkata, perkembangan itu membuktikan Melaka berada pada landasan tepat sebagai destinasi pelancongan dan pelaburan berimpak tinggi di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.
Beliau yang juga calon BN bagi kerusi N.14 Kelebang berkata, sektor pelancongan negeri mencatatkan kehadiran lebih 15 juta pelancong domestik dan antarabangsa setiap tahun, sekali gus merancakkan aktiviti ekonomi serta membuka peluang perniagaan kepada masyarakat setempat.
Katanya, prestasi pelaburan turut menunjukkan peningkatan ketara apabila Melaka merekodkan nilai pelaburan RM8.26 bilion pada 2024 sebelum melonjak kepada RM14.68 bilion pada 2025, iaitu pencapaian tertinggi dalam tempoh 22 tahun.
“Pelaburan berimpak tinggi yang masuk ke Melaka bukan sahaja menjana peluang pekerjaan, malah membuka ruang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sudah lama bertapak di negeri ini.
“Kita mahu momentum pembangunan sektor pelancongan dan pelaburan yang baik ini diteruskan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam Bersama NGO Masyarakat Cina yang disempurnakan Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di sebuah restoran di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong; Timbalan Presiden MCA, Dr. Mah Hang Soon; Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon; Timbalan Pengerusi MCA Melaka, Datuk Ngwe Hee Sem; Pengerusi MCA Bahagian Kota Melaka, Datuk Wira Gan Tian Loo serta kenamaan lain.
Ban Hong yang juga penyandang kerusi DUN Kelebang dan calon nombor 4 berkata, pencapaian ekonomi perlu bergerak seiring dengan pendekatan pentadbiran yang mendekati rakyat menerusi pelbagai program di peringkat akar umbi.
Katanya, pelaksanaan program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Jelajah Ketua Menteri Sayang Rakyat dan Hari Exco Bertemu Rakyat (HEBAT) membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam mendengar serta menangani permasalahan rakyat.
Menurutnya, platform berkenaan membolehkan masyarakat menyampaikan aduan secara terus kepada wakil kerajaan, sekali gus membantu memastikan dasar dan inisiatif yang dirangka memenuhi keperluan sebenar rakyat.
“Saya harap semua rakyat Melaka dapat memberikan sokongan kepada BN pada 14 November ini bagi memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi serta pendekatan pentadbiran yang mendekati rakyat dapat diteruskan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


