
10 INSTITUSI TAHFIZ TERBAIK BAKAL TERIMA INSENTIF RM50,000 – TPM
AYER KEROH 11 November – Sebanyak 10 institusi tahfiz terbaik yang memenuhi kriteria ditetapkan bakal menerima insentif RM50,000 setiap satu sebagai galakan meningkatkan kecemerlangan pendidikan tahfiz di negara ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pemberian insentif berjumlah RM500,000 itu merupakan sebahagian daripada usaha memperkukuh pengiktirafan terhadap institusi tahfiz menerusi pelaksanaan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) secara berperingkat mulai tahun ini.
Menurutnya, langkah itu juga bertujuan menggalakkan institusi tahfiz meningkatkan mutu pendidikan serta memenuhi standard yang ditetapkan bagi melahirkan lebih ramai huffaz berkualiti.
“Kita telah memperkenalkan Standard Pengiktirafan Tahfiz Malaysia (SPTM) untuk dilaksanakan secara berperingkat mulai 2026. Sebagai galakan kecemerlangan, insentif RM50,000 setiap satu disediakan bagi 10 institusi tahfiz terbaik yang memenuhi kriteria ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Festival KEMAS – Khatam Perdana Pra Tahfiz di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Datuk Mohd Hanafiah Man.
Ahmad Zahid berkata, usaha memperkukuh pendidikan tahfiz turut dilaksanakan menerusi Dasar Pendidikan Tahfiz Negara 2.0 dan Model Pendidikan Tahfiz Malaysia, selain pengenalan Sijil Tahfiz Malaysia 2.0 serta Sijil Perakuan Hafazan Bertahap bagi memperluas pengiktirafan terhadap pencapaian hafazan pelajar.
Dalam pada itu, beliau berkata, pendidikan tahfiz perlu terus diperkasakan supaya golongan huffaz bukan sahaja menguasai ilmu al-Quran, malah mampu mengembangkan potensi dalam pelbagai bidang profesional dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara.
Malah beliau turut mengimpikan Malaysia suatu hari nanti dipimpin seorang Perdana Menteri daripada kalangan huffaz yang menghafaz 30 juzuk al-Quran serta mempunyai keluasan ilmu, pertimbangan yang adil dan amanah terhadap rakyat.
“Saya mengimpikan suatu hari nanti Malaysia mempunyai seorang Perdana Menteri dalam kalangan huffaz yang menghafaz 30 juzuk al-Quran. Luas ilmunya, adil pertimbangannya dan teguh amanahnya kepada rakyat,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu golongan huffaz turut menceburi bidang profesional seperti perubatan, kejuruteraan, sains, teknologi dan keusahawanan agar kemampuan mereka dapat dimanfaatkan dalam pelbagai sektor.
Usaha menggabungkan pendidikan tahfiz dengan kemahiran profesional itu antaranya diterjemahkan menerusi program Tahfiz TVET yang merekodkan 2,364 pendaftaran sepanjang 2023 hingga 2025, dengan 900 peserta memperoleh pensijilan kemahiran.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 438 pelajar Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Ulul Albab berjaya melengkapkan hafazan 30 juzuk al-Quran pada September lalu.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


