
PRN MELAKA: HAKIM GANDAKAN LANGKAH, SERU PENGUNDI LUAR PULANG MENGUNDI
LENDU 11 November – Berbaki dua hari kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan dimanfaatkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.04 Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid untuk mendekati dan menyantuni pengundi yang masih belum berkesempatan ditemuinya.
Beliau yang juga calon nombor 1 berkata, tumpuan utama menjelang hari terakhir kempen adalah memastikan peluang bertemu pengundi dapat dimanfaatkan sebaik mungkin sebelum mereka keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, Sabtu ini.
Katanya, beliau yakin pengundi yang berada di luar kawasan DUN Lendu, khususnya mereka yang menetap di luar Melaka, akan pulang ke kampung halaman bagi memilih wakil rakyat pada PRN kali ini.
“Saya akan menggunakan dua hari terakhir ini untuk bertemu dan menyantuni pengundi yang masih belum sempat saya temui.
“Apapun, saya menyeru semua pengundi yang berada di luar kawasan DUN ini, khususnya yang tinggal di luar negeri Melaka, supaya pulang.
“Baliklah pada 13 November sebelah petang supaya dapat bertemu keluarga di kampung halaman dan seterusnya pada 14 November, keluarlah beramai-ramai untuk menunaikan tanggungjawab mengundi di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh ke Bilik Gerakan DUN Lendu, di sini, hari ini.
Menurutnya, penyertaan setiap pengundi amat penting dalam menentukan wakil rakyat yang akan membawa suara dan kepentingan penduduk di kawasan berkenaan untuk tempoh lima tahun akan datang.
Sehubungan itu, beliau berharap pengundi di DUN Lendu dapat memberikan sokongan penuh kepada BN pada PRN kali ini.
“Saya meminta semua rakyat dan juga pengundi untuk memberikan sokongan yang penuh kepada Barisan Nasional, insya-Allah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

