PRN MELAKA: HAMPIR 95 PERATUS KELUAR MENGUNDI AWAL, ISYARAT POSITIF SAMBUTAN PENGUNDI 

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

AYER LIMAU 11 November – Kadar keluar mengundi awal yang hampir mencecah 95 peratus semalam disifatkan sebagai perkembangan amat membanggakan dan petunjuk positif terhadap kesedaran pengundi dalam menunaikan tanggungjawab demokrasi.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, pencapaian itu diharap menjadi dorongan kepada pengundi biasa untuk turut keluar beramai-ramai menunaikan tanggungjawab masing-masing pada hari pengundian, Sabtu ini.

Menurut beliau, peratusan tersebut amat memberangsangkan meskipun keputusan sebenar pilihan raya masih belum diketahui.

“Amat baik kadar peratusan itu dan ia terlalu tinggi serta membanggakan walaupun keputusan kita tidak tahu.

“Saya berharap pengundi-pengundi yang akan mengundi pada 14 November ini keluar beramai-ramai seperti mana yang ditunjukkan oleh pengundi awal semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke Pusat Gerakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau, di sini, hari ini.

Turut hadir calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi DUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer.

Ab Rauf yang juga Pengerusi BN Melaka dan Pengarah Pilihan Raya BN negeri berkata, tahap kesiapsiagaan jentera parti serta kesediaan rakyat untuk keluar mengundi, khususnya di DUN Ayer Limau, ketika ini berada pada tahap amat baik.

Katanya, kempen kini memasuki fasa pecutan terakhir menjelang hari pengundian Sabtu ini, yang dinanti-nantikan rakyat Melaka bagi menentukan wakil rakyat pilihan mereka.

“Hari ini kita dalam pecutan menuju ke pilihan raya pada Sabtu dan ia dinanti-nantikan oleh rakyat Melaka untuk membuat pilihan bagi memilih wakil rakyat.

“Apa yang saya lihat di DUN Ayer Limau ini, kesiapsiagaan jentera untuk mengundi telah pun berada pada tahap yang cukup baik,” katanya.

Beliau berharap momentum positif yang ditunjukkan pengundi awal itu dapat diteruskan oleh pengundi biasa sekali gus memastikan penyertaan yang tinggi pada hari pengundian nanti.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

267
Kongsi :
Previous post ‘DEMI MASJID, APA SALAHNYA MOHON RM700,000 DARIPADA PMX?’ – HELMY
Next post KONVOI MOTOSIKAL, FLASH MOB SEMARAK SOKONGAN BUAT ROSLI – AB RAUF