MELAKA TELITI GARIS PANDUAN PEMBANGUNAN, ELAK BANJIR LUMPUR BERULANG

Masa Membaca:1 Minit, 50 Saat

BEMBAN 11 November – Keperluan menambah baik garis panduan pembangunan akan diteliti Kerajaan Negeri bagi memastikan projek perumahan baharu tidak menjejaskan sistem saliran sehingga mengakibatkan banjir lumpur di kawasan berhampiran.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, setiap projek pembangunan sememangnya tertakluk kepada garis panduan serta ulasan agensi teknikal termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pejabat Daerah dan Tanah.

Bagaimanapun, beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) nombor tiga bagi kerusi N.11 Sungai Udang berkata, kejadian banjir lumpur yang berulang di beberapa kawasan, termasuk di Kampung Gapam sehingga menjejaskan tujuh rumah memerlukan penelitian lanjut, khususnya terhadap kesan pembangunan di kawasan berkenaan.

“Memang kita ada garis panduan tersebut. Pemaju tidak boleh melaksanakan pembangunan tanpa mendapatkan ulasan daripada pihak JPS, Pejabat Daerah dan Tanah, pihak berkuasa tempatan (PBT) serta semua agensi teknikal yang terlibat.

“Namun, kita akan melihat perkara ini berdasarkan kes demi kes, termasuk meneliti keadaan kerap berlaku kejadian banjir lumpur seperti di Kampung Gapam ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas meninjau situasi banjir di Kampung Gapam, di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Ir. Mohd Adnan Ahmad Fauzi dan Pegawai Daerah Jasin Datuk Rahizi Ranom.

Berkait kejadian banjir kilat di Kampung Gapam, Rais berkata, Kerajaan Negeri menerusi Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) telah mengambil tindakan mengarahkan pemaju untuk menghentikan sementara kerja (stop order) sehingga masalah berkenaan diselesaikan sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung penyambungan projek.

Mengulas keadaan sistem saliran di kawasan itu, Rais berkata, keadaan sungai sedia ada yang terhad menyebabkan kerja mendalamkan tidak lagi dapat dilakukan, sebaliknya pihak JPS merancang pemasangan geobag sebagai langkah jangka pendek yang boleh dipertimbangkan bagi meningkatkan paras benteng.

“Apabila taburan hujan tinggi, air masih boleh melimpah ke kawasan penduduk. Kita juga tidak menafikan pembangunan yang berlaku di kawasan ini turut menyumbang kepada masalah berkenaan kerana sebelum ini kejadian sama tidak berlaku,” katanya.

Rais berkata, air di kebanyakan rumah penduduk telah surut ketika lawatan dilakukan, namun kediaman mereka masih terjejas akibat lumpur yang dibawa arus banjir.

Justeru, beliau berkata, tindakan penyelesaian perlu dilaksanakan secara bersama antara pemaju dan pihak berkuasa bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1300
Kongsi :
Previous post MELAKA PERINTIS, 132 TABIKA AUTISME KEMAS BAKAL DIBUKA PADA 2027