
MELAKA PERINTIS, 132 TABIKA AUTISME KEMAS BAKAL DIBUKA PADA 2027
PANTAI KUNDOR 11 November – Melaka dipilih sebagai negeri perintis bagi pelaksanaan inisiatif pendidikan awal kanak-kanak autisme oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), sebelum diperluaskan menerusi 132 tabika dan tadika di seluruh negara mulai 1 Januari 2027.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inisiatif itu merupakan antara pembaharuan KEMAS dalam memperluaskan akses pendidikan awal kepada kanak-kanak autisme.
Beliau menyifatkan pelaksanaan program berkenaan sebagai satu pencapaian penting yang mencerminkan usaha KEMAS memperluaskan skop perkhidmatan serta tanggungjawabnya dalam memenuhi keperluan pendidikan awal kanak-kanak.
“Ini satu game changer yang telah kita buat di KEMAS bermula di Melaka ini iaitu tabika dan tadika autisme tersebut.
“Mulai 1 Januari 2027 akan terdapat 132 tabika dan tadika autisme di seluruh negara yang dimulakan di negeri Melaka,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Kakitangan KEMAS Bersama Kepimpinan Tertinggi di Puteri Qashrina Chalet, Pantai Puteri, di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah serta Ketua Pengarah KEMAS, Datuk Mohd Hanafiah Man.
Ahmad Zahid berkata, kestabilan politik Melaka turut menjadi antara faktor yang membolehkan perancangan serta pelaksanaan inisiatif baharu dilaksanakan dengan lancar sebelum diperluaskan ke peringkat nasional.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

