MUSIM TENGKUJUH: RM132.45 JUTA BANTU 331,142 PEKEBUN KECIL

Masa Membaca:1 Minit, 53 Saat

TABOH NANING 11 November – Kerajaan memperuntukkan RM132.45 juta bagi pembayaran Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) untuk November dan Disember 2026, membabitkan 331,142 pekebun kecil dan penoreh getah di seluruh negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, bantuan itu mencerminkan keprihatinan Kerajaan terhadap kesukaran golongan berkenaan yang berdepan ketidaktentuan pendapatan setiap kali musim tengkujuh.

Katanya, beliau memahami kesukaran keluarga penoreh getah yang terpaksa berdepan pendapatan terjejas akibat hujan berpanjangan, sedangkan perbelanjaan harian dan persekolahan anak-anak tetap perlu ditanggung.

Justeru, katanya, BMT yang diperkenalkan sejak 2018 itu diteruskan bagi membantu meringankan beban kewangan penerima, termasuk 5,260 pekebun kecil dan penoreh getah di Melaka.

Jelas beliau, setiap penerima yang layak akan menerima bantuan keseluruhan RM400 secara berperingkat, iaitu RM200 pada November dan baki RM200 pada Disember.

“Saya mahu RISDA memastikan bantuan sampai mengikut jadual dan masalah pembayaran diselesaikan segera. Bagi keluarga yang sedang kekurangan pendapatan, setiap ringgit dan setiap hari menunggu itu ada maknanya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Kemakmuran Pekebun Kecil (PKPK) dan Hari Terbuka RISDA Negeri Melaka 2026 bertemakan “Mensejahtera Komuniti, Memperkasa Komoditi” di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah; Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib; Ketua Pengarah RISDA, Datuk Zainal Azni Zulkifli serta Pengerusi RISDA Holdings Sdn. Bhd., Datuk Suhaimi Nasir.

Majlis itu turut menyaksikan penyerahan simbolik BMT 2026, inisiatif TVET Pertanian, Depo Berprestasi Tinggi Padang Sebang serta sumbangan biasiswa dan insentif kemasukan ke UCAM menerusi Yayasan RISDA.

Selain bantuan jangka pendek, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan turut memberi penekanan kepada pembangunan kemahiran generasi muda dalam kalangan keluarga pekebun kecil bagi membuka peluang menjana pendapatan menerusi pendidikan vokasional dan pertanian moden.

Katanya, KKDW menerusi UCAM giat memperkukuh inisiatif TVET Pertanian yang menyasarkan penyertaan 460 peserta dalam tujuh bidang kemahiran utama, merangkumi operasi tanaman, perladangan getah dan sawit, penternakan serta akuakultur.

Beliau turut menyasarkan UCAM yang bernaung di bawah RISDA mampu melahirkan lebih ramai usahawan tani berjaya dengan memanfaatkan ilmu dan kemahiran yang diperoleh.

Sebagai contoh, beliau mengetengahkan kejayaan Abdul Muhaimin Hussin, graduan Diploma Sains Pertanian UCAM yang kini mengusahakan ladang sawit seluas 180 ekar di sekitar Masjid Tanah dan Alor Gajah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

482
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: HELMY MAHU BANGUNKAN EKOSISTEM E-SUKAN DI DUYONG