
‘DEMI MASJID, APA SALAHNYA MOHON RM700,000 DARIPADA PMX?’ – HELMY
DUYONG 11 November – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem mempertahankan tindakannya memohon peruntukan RM700,000 kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membantu merealisasikan pembinaan Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah.
Jelasnya, permohonan berkenaan merupakan usaha mendapatkan hak dan kemudahan yang boleh dimanfaatkan rakyat, berbeza dengan sumbangan peribadi yang diberikan individu kepada pihak lain.
“Membandingkan antara sumbangan yang diterima oleh Datuk Seri Najib Razak dengan permohonan kita. Permohonan ini sebuah formaliti hak rakyat terhadap kerajaan. Sumbangan yang diterima untuk membayar denda itu adalah hak orang menyumbang secara peribadi.
“Mungkin ada yang tidak tahu bahawa jumlah sumbangan yang telah diterima masjid ini berjumlah RM2.35 juta setakat ini dan daripada jumlah itu RM500,000 dikumpulkan menerusi seruan di media sosial saya seperti apa yang diperkatakan oleh Pengerusi masjid.
“Jadi apalah sangat sekiranya kita meminta RM700,000 daripada Perdana Menteri bagi merealisasikan baik pulih masjid ini,” katanya kepada pemberita selepas program Jelajah E-sukan Melaka Biru 2026 yang diluncurkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Restoran Selera Hang Tuah, Permatang Duyong, di sini, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Mohd Noor Helmy berkata, permohonan RM700,000 itu sebenarnya hanyalah mewakili kira-kira 22 peratus daripada keseluruhan kos projek yang dianggarkan bernilai RM3.2 juta.
Katanya, jumlah berkenaan jauh lebih rendah, meskipun pihak masjid layak memohon pembiayaan sehingga 70 peratus daripada kos keseluruhan projek berdasarkan formula pembiayaan yang dinyatakan.
Beliau berkata, setakat ini kira-kira RM2.5 juta berjaya dikumpulkan menerusi sumbangan pelbagai pihak bagi menjayakan projek berkenaan, manakala permohonan RM700,000 kepada kerajaan masih menunggu keputusan.
“Jadi apa yang diperkatakan di media sosial saya tidak mengkritik, sebaliknya saya menjawab persoalan yang cuba dimainkan dengan membandingkan permohonan dana pembinaan masjid dengan isu sumbangan kepada Datuk Seri Najib.
“Tapi tak apalah, insya-Allah, saya yakin dan percaya kita akan tetap dapatkan sumbangan untuk menyiapkan masjid ini,” tambahnya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

