
TEKNOLOGI TOREHAN TEBUK MULA DILAKSANAKAN JANUARI 2027
TABOH NANING 11 November – Teknologi torehan secara tebuk (puncture tapping) yang dikaji selama 15 tahun bakal dilaksanakan secara rasmi oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) bermula Januari 2027, sekali gus membuka pendekatan baharu dalam meningkatkan pengeluaran susu getah.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, inovasi itu membolehkan pokok getah termasuk pokok tua ditebuk bagi menyalurkan lateks terus ke dalam mangkuk tertutup, sekali gus membolehkan hasil getah dikutip walaupun ketika musim hujan.
Menurutnya, teknologi berkenaan berpotensi meningkatkan hasil susu getah sehingga tiga kali ganda berbanding sistem torehan biasa berdasarkan percubaan yang telah dilaksanakan di Sarawak.
“Hasil susu getah ini meningkat tiga kali ganda daripada sistem torehan biasa dan kita telah mencuba teknologi ini di Sarawak.
“Insya-Allah, saya mengarahkan RISDA supaya mulai bulan Januari ini, dimulakan di kebun-kebun RISDA yang luasnya 103,000 hektar di seluruh negara,” katanya ketika berucap menyempurnakan Program Kemakmuran Pekebun Kecil (PKPK) dan Hari Terbuka RISDA Negeri Melaka 2026 bertemakan “Mensejahtera Komuniti, Memperkasa Komoditi” di Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), di sini, pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Abdul Kahar Abdullah; Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib; Ketua Pengarah RISDA, Datuk Zainal Azni Zulkifli serta Pengerusi RISDA Holdings Sdn. Bhd., Datuk Suhaimi Nasir.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, kira-kira 2,930 hektar kebun getah matang di Melaka dikenal pasti masih terbiar dan meminta RISDA merangka kaedah pengurusan secara berkelompok bagi memastikan tanah berkenaan kembali produktif serta menjana pendapatan kepada pemiliknya.
Beliau berkata, usaha meningkatkan produktiviti sektor getah perlu disokong pengurusan kebun yang lebih sistematik selain memastikan bantuan teknikal sampai kepada pekebun kecil.
Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan, KKDW telah meluluskan peruntukan RM79.12 juta bagi melaksanakan 44 projek prasarana dan sosioekonomi di Melaka sepanjang 2026, membabitkan 16 projek baharu dan 28 projek sambungan.
Daripada jumlah itu, ujar beliau, RM33.06 juta dikhususkan bagi pembangunan prasarana desa termasuk jalan, jambatan luar bandar dan kemudahan ameniti sosial.
Bagi memperkasa sektor pekebun kecil pula, Ahmad Zahid berkata, sebanyak RM9.23 juta disalurkan menerusi tiga projek utama, iaitu RM7 juta bagi pembangunan kawasan tanaman getah, RM2.1 juta untuk peningkatan produktiviti dan RM128,400 bagi rawatan penyakit pokok.
“Peruntukan sudah disediakan. Sekarang, pastikan hasilnya. Pokok perlu sihat, kebun diurus dengan baik dan bantuan teknikal sampai kepada pengusaha. Yang saya mahu lihat ialah pengeluaran meningkat dan pendapatan bersih bertambah,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

