SWM KONGSI KECERIAAN DEEPAVALI BERSAMA 50 PENGHUNI RUMAH KEBAJIKAN

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

DUYONG 11 November – Seramai 50 penghuni Rumah Kasih Sayang Angel, Taman Sinn Semabok, di sini, diraikan menerusi program SWM Kasih Ceria Deepavali anjuran SWM Environment Sdn Bhd bagi menyemarakkan sambutan perayaan itu dengan pelbagai aktiviti keceriaan dan kebersamaan.

Program menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR), SWM Kasih itu memberi pengalaman bermakna kepada penghuni rumah kebajikan berkenaan yang terdiri daripada kanak-kanak dan remaja berusia antara dua hingga 18 tahun.

Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin berkata, program berkenaan mencerminkan komitmen syarikat untuk berkongsi kegembiraan dengan komuniti, khususnya golongan yang memerlukan.

Katanya, SWM Kasih merupakan inisiatif CSR tahunan yang dilaksanakan bagi menyampaikan sumbangan, meringankan beban serta meluangkan masa bersama komuniti yang disantuni sempena perayaan utama.

“Menerusi pendekatan ini, kami bukan sahaja ingin menghulurkan bantuan, malah berhasrat untuk meluangkan masa bersama komuniti yang disantuni agar mereka turut merasai kemeriahan dan kegembiraan menyambut perayaan utama seperti Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Deepavali dan Krismas,” katanya.

Sepanjang program itu, penghuni berpeluang menyertai pelbagai aktiviti interaktif termasuk menekap tapak tangan pada kanvas sebagai kenangan bersama, sambutan hari lahir bagi penghuni yang dilahirkan pada November serta sesi bermain bunga api.

Program itu turut disokong rakan strategik SWM Environment, seperti Klinik Medipulih yang menyumbangkan sokongan serta menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada penghuni.

Mohd Norlisam berkata, kerjasama berkenaan membuktikan kepentingan sinergi antara sektor korporat dan penyedia perkhidmatan dalam memperluas bantuan serta memberikan manfaat secara langsung kepada komuniti.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kami ucapkan kepada rakan strategik atas sokongan serta sumbangan yang diberikan, termasuk penyediaan perkhidmatan pemeriksaan kesihatan kepada para penghuni,” katanya.

SWM Environment berharap inisiatif berkenaan dapat diteruskan dengan kerjasama lebih banyak pihak bagi menyantuni golongan memerlukan, selain menyemarakkan semangat saling membantu dan perpaduan masyarakat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

177
Kongsi :
Previous post 225,000 KANAK-KANAK IKUTI PRA TAHFIZ KEMAS, LEBIH 9,000 KELAS DI SELURUH NEGARA