PECUTAN AKHIR PRN, HAMEED DEKATI 2,000 PENGUNDI LUAR AYER LIMAU

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER LIMAU 11 November – Peningkatan hampir empat kali ganda jumlah pengundi luar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Limau menjadi tumpuan jentera Barisan Nasional (BN) dalam pecutan akhir kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Calon BN bagi DUN Ayer Limau, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, pihaknya kini mempergiat usaha mendekati pengundi luar, khususnya golongan muda atau Gen-Z yang sedang melanjutkan pengajian serta memulakan kerjaya di luar Melaka.

Menurutnya, jumlah pengundi luar yang sebelum ini sekitar 500 orang meningkat kepada hampir 2,000 orang susulan pelaksanaan Undi18 yang membolehkan golongan berusia 18 tahun ke atas didaftarkan sebagai pengundi.

Katanya, peningkatan itu mendorong jentera pilihan raya BN memperkemas gerak kerja dengan menghubungi seramai mungkin pengundi terbabit bagi mengetahui kesediaan mereka untuk pulang menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian, Sabtu ini.

“Kalau sebelum ini jumlah pengundi luar hanya sekitar 500 orang, tetapi apabila dibuka kepada pengundi berusia 18 tahun, jumlah itu meningkat kepada hampir 2,000 orang.

“Kebanyakannya anak-anak muda yang sedang belajar atau baru memulakan kerjaya di luar Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menerima kunjungan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh di Bilik Gerakan DUN Ayer Limau, Kampung Jeram, di sini, hari ini.

Hameed yang merupakan penyandang kerusi berkenaan berkata, pendekatan secara bersemuka dan komunikasi langsung terus menjadi keutamaan bagi memastikan pengundi luar mendapat maklumat berkaitan persiapan hari pengundian.

Malah, pihaknya merancang mengadakan pertemuan bersama pengundi luar pada malam sebelum hari pengundian menerusi Pusat Daerah Mengundi (PDM) masing-masing.

Katanya, maklum balas awal yang diterima menunjukkan ramai pengundi luar bersemangat untuk pulang ke kampung halaman bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.

“Kita sudah mula berhubung dengan pengundi luar dan mereka cukup bersemangat untuk pulang pada hari pilihan raya.

“Insya-Allah, pada malam sebelum hari pengundian, kita akan bertemu dengan pengundi luar melalui PDM masing-masing,” katanya.

Usaha itu dilihat menjadi antara fokus utama jentera BN Ayer Limau dalam tempoh akhir kempen bagi memastikan pengundi, khususnya generasi muda yang berada di luar negeri, tidak terlepas peluang menentukan wakil rakyat pilihan mereka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

359
Kongsi :
Previous post SWM KONGSI KECERIAAN DEEPAVALI BERSAMA 50 PENGHUNI RUMAH KEBAJIKAN