MSPO BUKTI SAWIT MALAYSIA MAMPAN, TANGKIS DAKWAAN NEGATIF INDUSTRI

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

AYER MOLEK 11 November – Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjadi instrumen penting dalam mempertahankan kredibiliti industri sawit negara daripada pelbagai dakwaan negatif, selain membuktikan komitmen Malaysia terhadap amalan pertanian yang bertanggungjawab dan pemeliharaan alam sekitar.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, industri sawit negara sering berdepan tuduhan daripada pihak luar yang mengaitkan aktiviti penanaman sawit dengan kemusnahan alam sekitar, penebangan hutan secara haram serta ancaman terhadap hidupan liar.

Menurutnya, pensijilan MSPO membuktikan bahawa pembangunan industri sawit dan usaha memelihara alam sekitar mampu dilaksanakan secara seiring, termasuk melalui perlindungan kawasan Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV).

“MSPO ini bukan sekadar sijil untuk digantung di dinding. MSPO ialah bukti kepada dunia bahawa sawit Malaysia ditanam dengan cara yang betul. Jadinya, MSPO ini bukan beban. MSPO ialah perisai kita, pelindung kita.

“Latihan dan program kesedaran berkaitan HCV ini membantu pekebun kecil memahami tanggungjawab mereka dalam memelihara kawasan yang mempunyai nilai biodiversiti serta kepentingan sosial dan kebudayaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Program Salam Agrikomoditi MADANI @ Ayer Molek di padang Maahad Ar Rahmah, Kampung Solok Gaong, di sini, hari ini.

Noraini berkata, setakat September 2026, sebanyak 162 Kluster Minyak Sawit Mampan (SPOC) di seluruh negara berjaya memperoleh pensijilan MSPO menerusi pelaksanaan oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Menurutnya, pencapaian itu memberi manfaat kepada lebih 181,000 pekebun kecil persendirian yang mengusahakan kawasan tanaman seluas 706,647.06 hektar.

“Di Melaka, dua SPOC iaitu di Machap dan Sungai Rambai turut memperoleh pengiktirafan berkenaan, membabitkan 2,520 pekebun kecil dengan keluasan kawasan tanaman melebihi 9,600 hektar,” katanya.

Bagi memastikan pekebun kecil mendapat bimbingan secara berterusan, beliau berkata, pihak kementerian turut memperkasakan peranan Pegawai Tunjuk Ajar dan Nasihat Sawit (TUNAS) MPOB dalam menyebarluaskan Amalan Pertanian Baik (GAP), termasuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemeliharaan kawasan HCV.

Jelas beliau, usaha itu turut menyokong pelaksanaan pelan strategik PALMS 2030 yang berteraskan lima elemen utama iaitu Produktiviti, Automasi, Rendah Karbon, Kebolehpasaran dan Kemampanan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

303
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: DARI SEJARAH KE MASA DEPAN, AB RAUF SASAR MELAKA JADI HAB PELABUHAN