PRN MELAKA: JENTERA BERKAMPUNG BANTU MENANGKAN 4 CALON WANITA BN

Masa Membaca:1 Minit, 25 Saat

AYER MOLEK 11 November – Jentera wanita Barisan Nasional (BN) dari seluruh negara termasuk Sabah kini berkampung di Melaka bagi memperkukuh gerak kerja kempen serta membantu memastikan kemenangan calon parti pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, kehadiran jentera dari pelbagai negeri mencerminkan kesepaduan dan komitmen ahli parti dalam membantu menyantuni pengundi di kawasan yang ditandingi.

Menurutnya yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, gerak kerja kempen turut dipertingkatkan berbanding kebiasaan dengan perhatian khusus diberikan kepada empat calon wanita yang diketengahkan BN pada PRN kali ini.

“Untuk PRN Melaka ini, sebenarnya jentera kami bukan hanya bergantung pada Melaka, seperti juga pilihan raya lain, jentera daripada satu Malaysia datang untuk membantu memenangkan calon-calon kita.

“Calon wanita ada empat orang, tetapi fokus kami adalah kepada semua calon, terutamanya calon wanita. Gerak kerja memang kita pertingkatkan lebih daripada kebiasaan untuk memastikan calon kami menang di Melaka ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas merasmikan Program Salam Agrikomoditi MADANI @ Ayer Molek yang berlangsung di Padang Maahad Ar Rahmah, Kampung Solok Gaong, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai peratusan keluar mengundi awal yang dilaporkan menghampiri sasaran 95 peratus ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Noraini menyambut baik perkembangan berkenaan dan berharap momentum itu berterusan pada hari pengundian.

Katanya, BN berharap lebih ramai pengundi keluar menunaikan tanggungjawab masing-masing pada 14 November ini, sekali gus menyokong usaha parti itu untuk membirukan seluruh negeri Melaka.

“Kita harap pada 14 hari bulan nanti, peratusan pengundi untuk keluar membuang undi itu juga lebih tinggi, dan kita harap ini akan memberikan sokongan kepada usaha untuk membirukan seluruh negeri Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

269
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: WARISAN 600 TAHUN MELAKA DI BELANDA, AB RAUF USAHA BAWA PULANG