PRN MELAKA: WARISAN 600 TAHUN MELAKA DI BELANDA, AB RAUF USAHA BAWA PULANG

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

TANJUNG BIDARA 11 November – Khazanah sejarah Melaka yang dipercayai berusia lebih 600 tahun tersimpan di Belanda bakal diteliti menerusi kerjasama penyelidik tempatan dalam usaha mengungkap semula sejarah kegemilangan negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, usaha berkenaan mendapat perhatian selepas beliau menerima kunjungan Duta Belanda yang memaklumkan terdapat pelbagai bahan sejarah berkaitan Melaka tersimpan di sebuah institusi penyelidikan di negara itu.

Menurutnya, susulan maklumat berkenaan, sekumpulan pakar sejarah daripada Universiti Malaya (UM), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Islam Melaka (UNIMEL) digerakkan untuk menjalankan penelitian terhadap bahan sejarah yang tersimpan di Leiden University, Belanda.

“Bila dibukakan peti rahsia Melaka yang disimpan selama lebih 600 tahun, macam-macam saya jumpa. Rupa-rupanya Melaka ini cukup hebat dan cukup dahsyat.

“Saya membawa para penyelidik untuk mengkaji apakah yang tersembunyi dalam sejarah orang Melayu ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Temu Ramah Mesra Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; calon BN DUN Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid serta kenamaan lain.

Ab Rauf yang juga calon nombor 2 bagi DUN Tanjung Bidara berkata, penelitian terhadap khazanah berkenaan penting bagi memperluas pemahaman masyarakat mengenai sejarah Kesultanan Melayu Melaka yang menurutnya masih mempunyai banyak aspek belum diketahui umum.

Beliau turut berkongsi satu catatan yang dikatakan ditulis pada kurun ke-16, yang menurutnya menyatakan pahlawan Melayu, Hang Tuah meninggal dunia pada usia 80 tahun pada 1528 dan dikebumikan di Sungai Duyong, Bentan.

Sehubungan itu, beliau menyatakan hasrat untuk membawa pulang khazanah sejarah berkenaan dari Belanda supaya dapat dipelihara dan diwariskan kepada generasi akan datang.

Menurutnya, penelitian terhadap bahan sejarah lama itu juga berpotensi membuka ruang kepada masyarakat untuk mengenali dengan lebih mendalam peranan Melaka sebagai pusat perdagangan dan tamadun Melayu yang pernah disegani.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

255
Kongsi :
Previous post PELABURAN BUKA PELUANG PEKERJAAN UNTUK RAKYAT MELAKA