PRN MELAKA: DARI SEJARAH KE MASA DEPAN, AB RAUF SASAR MELAKA JADI HAB PELABUHAN

Masa Membaca:1 Minit, 24 Saat

TANJUNG BIDARA 11 November – Melaka berpotensi mengembalikan kegemilangannya sebagai hab pelabuhan penting negara menerusi pembangunan sektor maritim, berasaskan kedudukan strategik negeri itu di Selat Melaka.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, potensi berkenaan perlu dimanfaatkan sepenuhnya memandangkan Selat Melaka merupakan antara laluan perdagangan maritim utama dunia dengan kira-kira 80,000 kapal melaluinya setiap tahun.

Menurutnya, pemilikan empat lesen pelabuhan oleh Melaka turut membuka peluang untuk negeri itu memperkukuh sektor maritim sebagai antara pemacu pertumbuhan ekonomi pada masa hadapan.

“Kalau kita ada pelabuhan yang elok, cantik, kapal ini nak singgah di mana? Melaka lah.

“Melaka sudah dapat empat lesen pelabuhan dan insya-Allah, jika diberi peluang meneruskan pentadbiran Kerajaan Negeri, kita pastikan Melaka juga akan kembali gemilang sebagai pelabuhan yang hebat di Malaysia,” katanya.

Beliau yang juga calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara berkata demikian ketika berucap pada Majlis Temu Ramah Mesra Veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Villa D’Acqua, Kampung Pulau, Masjid Tanah, di sini, hari ini.

Hadir sama, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin; calon BN DUN Lendu, Datuk Abdul Hakim Abdul Wahid serta kenamaan lain.

Ab Rauf berkata, hasrat mengembalikan kegemilangan sektor pelabuhan Melaka turut berteraskan sejarah negeri itu yang pernah muncul sebagai pusat perdagangan maritim terkemuka dan menjadi tumpuan pedagang dari pelbagai negara.

Beliau turut menyentuh kehebatan sistem pentadbiran maritim Kesultanan Melayu Melaka menerusi Kanun Laut Melaka yang merangkumi aspek pengurusan perkapalan, percukaian dan pentadbiran kapal.

Menurutnya, warisan sejarah berkenaan membuktikan Melaka mempunyai asas dan tradisi perdagangan maritim yang boleh dijadikan inspirasi dalam merancang pembangunan sektor berkenaan pada masa hadapan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

231
Kongsi :
Previous post PRN MELAKA: JENTERA BERKAMPUNG BANTU MENANGKAN 4 CALON WANITA BN