‘SAYANG BUKIT KATIL’, RIDZUAN MAHU BAWA PERUBAHAN

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

SERI NEGERI 16 November – ‘Ridzuan Sayang Bukit Katil’ bukan sekadar slogan kempen, sebaliknya menjadi komitmen Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif untuk membawa kawasan itu ke arah lebih sejahtera dan berkat.

Muhammad Ridzuan berkata, kemenangan yang diperoleh pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 menjadi satu amanah yang perlu dilaksanakan dengan penuh rasa syukur, selain menghargai kepercayaan diberikan pengundi dan seluruh masyarakat di kawasan berkenaan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pengundi yang memilihnya serta masyarakat Bukit Katil yang memberikan sokongan pada pilihan raya kali ini.

“Alhamdulillah saya bersyukur kepada Allah SWT atas kemenangan ini. Saya ingin memberikan sekalung penghargaan dan terima kasih kepada semua pengundi serta masyarakat di DUN Bukit Katil, terutamanya yang telah memilih saya menjadi suara mereka kali ini.

“Insya-Allah, sama-sama kita jadikan Bukit Katil sebuah kawasan yang lebih sejahtera dan lebih berkat,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, semalam.

Pada PRN Melaka Ke-16, Muhammad Ridzuan yang mewakili Perikatan Nasional (PN) meraih 15,305 undi dengan majoriti 6,607 undi, sekali gus menewaskan penyandang kerusi berkenaan, Adly Zahari yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 8,698 undi.

Kemenangan itu menyaksikan kerusi DUN Bukit Katil bertukar tangan selepas Adly memenanginya pada PRN 2018 dan 2021.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

345
Kongsi :
Previous post MAJORITI MENINGKAT LEBIH LAPAN KALI GANDA, BAN HONG TEKAD BANGUNKAN KLEBANG