MAJORITI MENINGKAT LEBIH LAPAN KALI GANDA, BAN HONG TEKAD BANGUNKAN KLEBANG

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

SERI NEGERI 15 November – Peningkatan majoriti lebih lapan kali ganda pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16 disifatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelebang, Datuk Wira Lim Ban Hong sebagai satu bentuk keyakinan rakyat terhadap Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, sokongan yang diterima daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan wanita, belia dan pengundi muda mencerminkan penerimaan terhadap pendekatan serta tawaran yang dibawa parti itu.

Menurutnya, manifesto BN yang merangkumi pelbagai aspek kehidupan masyarakat turut menjadi antara pendekatan untuk memastikan keperluan setiap kelompok diberikan perhatian.

“Parti Barisan Nasional ini bukan sahaja mewakili masyarakat pelbagai kaum, tetapi juga pelbagai lapisan masyarakat merangkumi kaum wanita, kaum ibu, belia, pemuda termasuk Gen Z.

“Jika dilihat pada manifesto yang dilancarkan, ia sebenarnya merangkumi semua aspek,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, hari ini.

Pada PRN Melaka Ke-16, Ban Hong yang mewakili BN berjaya mempertahankan kerusi DUN Kelebang dengan memperoleh 12,522 undi dan majoriti 7,035 undi.

Beliau menewaskan tiga pencabar iaitu Farzana Hayani Mohd Nasir daripada Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 5,487 undi, Mohamad Ali Mohamad (Bersatu) dengan 940 undi dan Young Jie Yu (Bersama) yang mendapat 749 undi.

Keputusan itu menyaksikan peningkatan majoriti sebanyak 6,159 undi berbanding PRN 2021 apabila Ban Hong turut memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 876 undi.

Mengulas perancangan selepas menerima mandat baharu, Ban Hong berkata, beliau komited memberikan perkhidmatan terbaik dengan memastikan keperluan semua lapisan masyarakat di kawasan berkenaan terus diberi perhatian.

Katanya, beberapa sektor utama termasuk pertanian, perikanan, pembangunan belia, pendidikan, kesihatan serta infrastruktur dan sistem lalu lintas akan terus diberi tumpuan.

“Selaku Adun, saya akan menjalankan tugas sebaik mungkin untuk menyantuni semua lapisan masyarakat supaya keperluan masyarakat yang berbeza ini dapat diketahui dan diberikan perhatian,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

305
Kongsi :
Previous post TUMINAH TEKAD TIDAK SIA-SIAKAN MANDAT WARGA PANTAI KUNDOR