
PAIP, JALAN DAN SALIRAN JADI KEUTAMAAN 100 HARI RIDZUAN DI BUKIT KATIL
SERI NEGERI 17 November – Penyelenggaraan paip, jalan raya dan sistem perparitan antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Katil, Muhammad Ridzuan Mohd Sarif dalam tempoh 100 hari pertama selepas menerima mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.
Beliau berkata, tumpuan itu dibuat berdasarkan beberapa keperluan penting yang dikenal pasti ketika turun bertemu masyarakat sepanjang tempoh berkempen, khususnya perkara berkaitan kebajikan dan kemudahan asas penduduk.
Menurutnya, antara isu yang memerlukan perhatian segera termasuk kerosakan paip, keadaan jalan serta sistem perparitan yang turut dikaitkan dengan kejadian banjir kilat di beberapa kawasan.
“Tempoh 100 hari pertama ini lebih kepada penyelenggaraan berkaitan kerosakan paip, jalan dan juga perparitan.
“Kita dapati semasa tempoh berkempen, dimaklumkan ada berlaku banjir kilat dan sebagainya. Jadi, itu antara tumpuan utama saya, bagaimana dalam tempoh 100 hari pertama ini kita dapat mengusahakan penyelesaian sebaik mungkin,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Beliau berkata, pendekatan itu juga selari dengan manifesto Kerajaan Negeri yang digariskan menerusi kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), terutama dalam memastikan kebajikan serta keperluan asas rakyat terus diberi perhatian.
Ridzuan berkata, beliau berhasrat untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada seluruh masyarakat di DUN Bukit Katil dengan memastikan isu yang dibangkitkan penduduk diberi perhatian dan diusahakan penyelesaiannya.
Pada PRN Melaka Ke-16, Muhammad Ridzuan yang mewakili Perikatan Nasional (PN) meraih 15,305 undi dengan majoriti 6,607 undi, sekali gus menewaskan penyandang kerusi berkenaan, Adly Zahari yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 8,698 undi.
Kemenangan itu menyaksikan kerusi DUN Bukit Katil bertukar tangan selepas Adly memenanginya pada PRN 2018 dan 2021.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

