WAKIL BN-PN ADA DALAM BARISAN EXCO MELAKA – AB RAUF 

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERI NEGERI 17 November – Wakil parti politik dalam gabungan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan dilantik dalam barisan Exco Negeri Melaka yang bakal diumumkan tidak lama lagi.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh berkata, jumlah anggota Exco kekal 10 orang dan pelantikan itu akan dibuat selepas beliau memperhalusi keperluan serta kemampuan calon yang dipertimbangkan.

Menurutnya, setiap individu dipilih perlu mempunyai keupayaan untuk memikul tanggungjawab selain memiliki daya saing dan pemikiran kreatif bagi membantu memajukan negeri.

“Pertimbangan turut dibuat berdasarkan kemampuan dan keupayaan seseorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) untuk melaksanakan portfolio yang bakal diamanahkan.

“Saya akan perhalusi dan membuat pertimbangan serta kajian tentang keperluan-keperluan lantikan Exco mengikut kemampuan dan keupayaan seseorang Adun untuk memikul tanggungjawab yang bakal saya amanahkan.

“Pastinya saya memerlukan mereka yang mempunyai daya saing dan pemikiran kreatif untuk sama-sama kita majukan Melaka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas ‘clock in’ hari pertama tugasan rasmi sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 Penggal Kedua di Pejabat Ketua Menteri Melaka, Kompleks Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Wira Salhah Salleh; Penasihat Undang-Undang Negeri Datuk Khairul Azreem Mamat; Pegawai Kewangan Negeri Datuk Md Azhan Samat dan Mufti Melaka Datuk Wira Abdul Halim Tawil.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, pengumuman rasmi barisan Exco Kerajaan Negeri akan dibuat tidak lama lagi dan pihak media akan dipanggil bagi mendapatkan maklumat berhubung pelantikan itu.

“Tiba waktunya pastinya saya akan panggil semua pengamal-pengamal media untuk diberi maklum tentang pelantikan exco, pastinya tidak lama lagi,” katanya.

Terdahulu Ab Rauf telah disambut oleh warga kerja Jabatan Ketua Menteri Melaka pada jam 8.40 pagi sebelum ‘clock in’ hari pertama tugasan rasmi beliau sebagai Ketua Menteri Melaka Ke-13 Penggal Kedua di Pejabat Ketua Menteri Melaka, Kompleks Seri Negeri.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

118
Kongsi :
Previous post KEMBALI DENGAN MANDAT, AKMAL TERUS SANTUNI ADUAN RAKYAT