TIGA AGENDA UTAMA MOHD RIDHWAN PERKASA AYER MOLEK

Masa Membaca:1 Minit, 38 Saat

SERI NEGERI 16 November – Penambahbaikan infrastruktur awam, kemudahan sekolah agama serta penyelesaian projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) antara keutamaan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Molek, Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali selepas menerima mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Beliau berkata, pelbagai aduan, keluhan dan harapan penduduk yang disuarakan sepanjang tempoh berkempen akan diteliti serta disusun mengikut keutamaan bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat dilaksanakan sepanjang penggal baharu.

Menurutnya, isu berkaitan infrastruktur awam antara perkara paling banyak dibangkitkan penduduk dan memerlukan perhatian bagi memastikan kemudahan di kawasan berkenaan berada dalam keadaan baik.

“Sepanjang tempoh kempen, banyak perkara telah disuarakan penduduk dan banyak juga perancangan yang telah kita kenal pasti untuk dilaksanakan.

“Kita akan melihat semula aduan serta harapan mereka dan menyusunnya supaya dapat dilaksanakan dalam tempoh penggal ini, dengan memberikan fokus kepada perkara yang perlu ditangani segera,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Mohd Ridhwan berkata, kemudahan pendidikan agama turut menjadi perhatian susulan keadaan Sekolah Rendah Agama (SRA) Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) di kawasan itu yang berdepan masalah kepadatan bangunan serta keadaan premis yang usang.

Katanya, perkara itu akan dibincangkan bersama agensi berkaitan dan Kerajaan Negeri bagi mengenal pasti langkah penambahbaikan yang bersesuaian demi menyediakan persekitaran pembelajaran lebih selesa kepada murid.

“Selain itu, kita juga akan meneliti kemajuan pelaksanaan projek RTB yang melibatkan sungai di kawasan Ayer Molek dan masih belum siap sepenuhnya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, keperluan golongan muda turut akan diberi perhatian dalam perancangan pembangunan kawasan berkenaan bagi memastikan kebajikan serta aspirasi penduduk daripada pelbagai peringkat umur terus terbela.

Pada PRN Melaka Ke-16, Mohd Ridhwan yang mewakili Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi DUN Ayer Molek dengan memperoleh 16,312 undi dan majoriti 13,108 undi dalam pertandingan satu lawan satu, menewaskan calon Pakatan Harapan (PH).

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

120
Kongsi :
Previous post ABDUL HAKIM TURUN PADANG TINJAU MASALAH PENIAGA, ISU RAKYAT