
‘ACIK ZUL’ MAHU PERJUANG PERUNTUKAN KHAS, BANTU KEDIAMAN DAIF ORANG ASLI
SERI NEGERI 16 November – Memperjuangkan peruntukan tambahan bagi membantu memperbaiki kediaman daif masyarakat Orang Asli antara fokus yang mahu diberi perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Taboh Naning, Datuk Zulkiflee Mohd Zin pada penggal kedua perkhidmatannya.
Beliau berkata, cadangan itu akan dibawa dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi membolehkan Kerajaan Negeri mempertimbangkan peruntukan khusus untuk membantu meningkatkan taraf kehidupan masyarakat berkenaan.
Menurutnya, keadaan kediaman yang daif di beberapa perkampungan Orang Asli memerlukan perhatian lebih serius, memandangkan bantuan sedia ada daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dilihat masih belum mencukupi untuk memenuhi keperluan mereka.
“Saya pergi ke rumah-rumah orang Asli dan mendapati keadaan rumah mereka terlalu daif. Peruntukan JAKOA tidaklah sebesar mana yang mereka dapat.
“Saya akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya memberikan sedikit peruntukan bagi membantu perkampungan Orang Asli dan berharap cadangan itu dapat dipertimbangkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada ditemui Melaka Hari Ini selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, pada Ahad.
Mengulas perancangan pembangunan bagi penggal kedua, Zulkiflee berkata, beberapa kemudahan asas turut menjadi keutamaannya termasuk pembesaran klinik kesihatan serta pembangunan dan penambahbaikan kemudahan di sekolah kebangsaan dan sekolah menengah.
Selain itu, beliau mahu usaha menaik taraf jalan raya di bawah seliaan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan diteruskan, khususnya laluan dari Simpang Empat ke Simpang Kendong yang sering mengalami kesesakan ketika musim cuti umum.
Katanya, cadangan melebarkan laluan berkenaan kepada dua lorong perlu diberi perhatian bagi melancarkan pergerakan trafik dan mengurangkan kesesakan yang dihadapi pengguna jalan raya.
“Untuk jalan-jalan di bawah Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan, saya mahu ia dilebarkan menjadi dua lorong, terutama laluan dari Simpang Empat ke Simpang Kendong kerana kenderaan di situ sering mengalami kesesakan pada hari kelepasan,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

