RAIS TUNAI AKU JANJI, 30 PERATUS PERUNTUKAN UNTUK KOMUNITI TENTERA

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

SERI NEGERI 16 November – Sebanyak 30 peratus peruntukan yang diterima sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan dikhususkan Datuk Rais Yasin bagi kebajikan dan program warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), keluarga serta veteran di Sungai Udang.

Adun Sungai Udang itu berkata, komitmen berkenaan merupakan antara aku janji yang ditawarkan kepada pengundi bagi memastikan keperluan komuniti tentera di kawasan tersebut terus diberikan perhatian.

Menurutnya, pengkhususan itu meliputi kebajikan serta pelaksanaan program membabitkan anggota, keluarga mereka, Badan Kebajikan Keluarga Angkatan Tentera (BAKAT) dan veteran.

“Dalam manifesto saya atau aku janji, saya telah katakan, kalau mandat itu diberikan, dan alhamdulillah kita telah dapat mandat.

“Sebanyak 30 peratus peruntukan yang saya dapat sebagai Adun adalah untuk warga Angkatan Tentera dan keluarga mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Angkat Sumpah Ketua Menteri Melaka di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang di-Pertua Negeri Melaka, di sini, semalam.

Menjelaskan komitmen itu, Rais memberikan contoh sekiranya menerima peruntukan sebanyak RM500,000 setahun, sejumlah RM150,000 akan dikhususkan untuk komuniti berkenaan.

“Contohnya, kalau kita dapat RM500,000 setahun, RM150,000 adalah dikhaskan. Tak boleh usik. Itu adalah untuk tentera,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pengkhususan tersebut tidak mengetepikan tanggungjawabnya terhadap penduduk awam yang turut memerlukan perhatian dan pembelaan.

“Di sebalik itu, rakyat, orang awam, masyarakat yang berada di luar, kita tetap akan pastikan mereka juga terbela,” katanya.

Rais berkata, warga tentera bersama keluarga serta veteran membentuk komuniti yang besar di Sungai Udang dengan jumlah keseluruhannya dianggarkan hampir 15,000 orang.

Menurutnya, hubungan dengan komuniti itu dibina sejak beliau dilantik sebagai penyelaras DUN Sungai Udang oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Dr. Ab Rauf Yusoh.

“Saya bermula di Sungai Udang ini sebagai penyelaras ketika Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama dilantik sebagai Ketua Menteri dan beliau melantik saya sebagai penyelaras di DUN Sungai Udang, jadi di situlah bermulanya gerak kerja.

“Tiap-tiap tahun kita ada juga buat jamuan Hari Raya bersama dengan mereka dan pelbagai bantuan yang kerajaan negeri salurkan. Jadi inilah yang membuatkan hubungan bersama dengan warga Angkatan Tentera ini sangat rapat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

157
Kongsi :
Previous post ‘SAYANG BUKIT KATIL’, RIDZUAN MAHU BAWA PERUBAHAN