
BAJET MELAKA 2027: PERUNTUKAN KLUSTER AGAMA DIJANGKA ANTARA TERTINGGI
BUKIT PALAH 28 November – Kluster agama dijangka menjadi antara penerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan Melaka 2027 yang akan dibentangkan pada Persidangan Ketiga (Bajet) Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas pada bulan depan.
Exco Agama, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Kos Sara Hidup negeri, Datuk Rais Yasin berkata permohonan peruntukan bagi kluster berkenaan sudah dibincangkan dan akan diperhalusi dalam sesi pemukiman Exco.
Menurutnya, antara perkara yang diberi perhatian ialah keperluan pembangunan, pengurusan zakat serta bantuan kepada golongan asnaf dan pelajar.
“Kita bakal mengadakan ‘retreat’ Exco pada 7 hingga 10 Disember ini jika tidak silap saya dan pada program itu kita akan berbincang.
“Saya yakin dan percaya Kerajaan Negeri sentiasa cakna dan untuk kluster agama ini sahaja adalah antara penerima peruntukan yang terbesar di dalam negeri Melaka.
“Selain daripada aspek-aspek pembangunan sebab kita juga melibatkan a daripada zakat, kita juga melibatkan untuk pemberian kepada asnaf, bantuan kepada pelajar-pelajar, itu antara aspek-aspek ini terlibat dalam bajet,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Konvensyen Masjid dan Surau Negeri Melaka 2026 di Auditorium Masjid Al-Azim Bukit Palah di sini, pada Khamis.
Hadir sama pada konvensyen itu Mufti Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad.
Untuk rekod, Belanjawan Melaka 2026 yang dibentangkan pada Persidangan DUN pada 5 Disember 2025 memperuntukkan RM92.33 juta kepada Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), antara peruntukan terbesar bagi jabatan di bawah pentadbiran negeri.
Jumlah itu merangkumi RM79.98 juta bagi pengurusan dan RM12.35 juta bagi pembangunan.
Antara projek pembangunan yang disenaraikan ialah pembinaan Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Tadika JAIM di Pasir Putih, Bachang, pembinaan SRA Sungai Udang serta kerja penyelenggaraan dan pembaikan kecil institusi pendidikan agama, masjid dan surau di seluruh negeri.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

