
MELAKA TELITI INISIATIF KURANGKAN KOS ASUHAN ANAK DI TASKA
GADEK 28 November – Kerajaan Negeri sedang meneliti peluang kerjasama dengan pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) sedia ada bagi memudahkan akses keluarga kepada perkhidmatan penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak yang lebih berkualiti serta kos efektif.
Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Datuk Khaidhirah Abu Zahar berkata, perkara itu antara aspek yang diberi perhatian memandangkan kos penjagaan anak menjadi salah satu pertimbangan penting pasangan suami isteri dalam merancang kehidupan berkeluarga.
Menurutnya, pembangunan keluarga perlu dilihat secara menyeluruh termasuk memastikan ibu bapa mempunyai akses kepada kemudahan penjagaan anak yang bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.
“Kita sedang melihat bagaimana taska-taska yang sedia ada ini kita mampu bekerjasama dengan lebih baik.
“Kita juga mahu melihat bagaimana akses kepada pendidikan awal kanak-kanak dapat dipermudah, lebih baik dan kos efektif kepada semua,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Negeri Melaka di Kompleks Air Panas Gadek, di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Exco Wanita, Keluarga dan Masyarakat Siti Aisyah Mahmood; Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Adzmel Mahmud; Pengarah LPPKN Negeri Melaka Suszma Khairitszi Mamat serta lain-lain kenamaan.
Khaidhirah berkata, antara faktor yang mempengaruhi keputusan pasangan untuk mempunyai anak termasuk kos kewangan, komitmen masa dan tanggungan dalam membesarkan keluarga.
Justeru, usaha memperkukuh kemudahan penjagaan anak dilihat penting bagi membantu ibu bapa mengimbangi tanggungjawab keluarga dan kerjaya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.


