DUNIA SEMAKIN PINTAR, MANUSIA PERLU LEBIH BIJAKSANA – TUN DR. MOHD ALI

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

AYER KEROH 28 November – Kemajuan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) perlu diseimbangkan dengan kebijaksanaan manusia dalam membuat pertimbangan bagi memastikan setiap keputusan membawa manfaat.

Yang di-Pertua Negeri Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam berkata, kecanggihan teknologi yang mampu menganalisis data, menyusun maklumat dan mempercepat pelbagai urusan tidak bermakna manusia boleh menyerahkan sepenuhnya pertimbangan kepada mesin.

“Mesin boleh memberi jawapan dalam beberapa saat, tetapi manusia tetap perlu menentukan soalan yang wajar ditanya. Sistem boleh mencadangkan tindakan, tetapi manusia mesti menimbang akibatnya.

“Teknologi boleh mempercepat keputusan, tetapi kebijaksanaan menuntut kita bertanya sama ada keputusan itu benar, adil dan membawa manfaat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Melaka (UNIMEL) Ke-28 Sidang Pertama di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tun Dr. Mohd Ali yang juga Canselor UNIMEL berkata, kekuatan seseorang yang berpendidikan bukan sekadar bergantung kepada jumlah pengetahuan dimiliki, sebaliknya keupayaan menggunakan ilmu secara tepat ketika berhadapan situasi rumit.

Katanya, graduan perlu mempunyai keupayaan membezakan fakta daripada andaian serta bukti daripada dakwaan, selain tidak mudah terpengaruh dengan lambakan maklumat dalam era digital.

“Kita tidak boleh sekadar melahirkan generasi yang pantas menggunakan aplikasi. Kita perlu melahirkan generasi yang mampu berfikir secara mendalam, memahami manusia yang terkesan oleh sesuatu keputusan dan berani mempertahankan perkara yang benar.

“Ilmu yang tinggi tanpa pertimbangan matang boleh menghasilkan kemajuan tidak seimbang, justeru pendidikan perlu dipandu nilai amanah, keadilan dan hikmah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

136
Kongsi :
Previous post MELAKA TELITI INISIATIF KURANGKAN KOS ASUHAN ANAK DI TASKA
Next post BAJET MELAKA 2027: PERUNTUKAN KLUSTER AGAMA DIJANGKA ANTARA TERTINGGI