Dua kluster baharu di tempat kerja, empat kematian

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Melaka merekodkan dua kluster tempat kerja baharu hari ini di daerah Melaka Tengah.

Dua kluster itu adalah Kluster Jalan Tun Razak Peringgit dan Kluster Industri Jalan TMP Lapan.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kluster Jalan Tun Razak melibatkan pekerja sebuah pasar raya di Jalan Tun Razak, Peringgit dengan kes indeks berpunca daripada jangkitan lelaki berusia 29 tahun.

Katanya, lelaki berkenaan dilaporkan positif pada 27 Jun lalu hasil saringan bergejala yang dikesan bermula lima hari sebelum itu.

“Setakat ini jumlah saringan yang dijalankan dalam kluster berkenaan adalah seramai 114 orang dan 30 daripadanya positif.

“Premis ini telah diarahkan tutup sehingga 14 Julai ini,” katanya.

Menurut KKM, Kluster Industri Jalan TMP Lapan pula membabitkan pekerja sebuah kilang di Jalan Industri TMP 8, Taman Perindustrian Minyak Perdana.

“Kes indeks bagi kluster itu adalah seorang wanita berusia 22 tahun yang dilaporkan positif pada 7 Julai lalu hasil saringan individu bergejala.

“Setakat ini 69 orang disaring dan 23 daripadanya positif, manakala kilang terbabit diarahkan tutup bermula 2 hingga 11 Julai ini,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan harian Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), sebanyak empat kes kematian direkodkan di negeri ini membabitkan pesakit di daerah Melaka Tengah dan Jasin.

Menurut kenyataan itu, kes kematian pertama membabitkan wanita berusia 46 tahun di Krubong yang dikesan positif daripada kes sporadik pada 29 Jun lalu dan mempunyai penyakit kencing manis.

“Bagi kes kematian kedua membabitkan lelaki berusia 54 tahun di Bukit Katil yang dikesan positif 25 Jun lalu hasil saringan kontak rapat keluarga dan mempunyai penyakit kolestrol tinggi.

“Kes kematian ketiga melibatkan lelaki berusia 26 tahun di Ayer Molek yang dikesan positif pada 25 Jun lalu hasil saringan kontak rapat keluarga.

“Manakala bagi kes kematian keempat melibatkan lelaki berusia 55 tahun di Merlimau yang dikesan positif pada 2 Julai lalu hasil kontak rapat sosial dan mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi serta buah pinggang kronik,” katanya.

Dalam pada itu, JKN memaklumkan 358 kes baharu positif COVID-19 direkodkan hari ini dan 170 kes sembuh.

Jelas kenyataan itu, sebanyak 2,770 kes masih dirawat termasuk 91 pesakit di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka dengan 27 daripada memerlukan bantuan alat pernafasan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

498
Kongsi :
Previous post ‘Beri pancing, bukan ikan’ – Latipah
Next post Tema sambutan Hari Kebangsaan 2021 kekal ‘Malaysia Prihatin’
Ubah saiz-+=