‘Beri pancing, bukan ikan’ – Latipah

Masa Membaca:1 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Konsep ‘beri pancing, bukannya ikan’ menjadi antara pendekatan digunakan kerajaan negeri bagi memastikan rakyat mendapat bantuan dengan lebih berkesan.

Exco Kebajikan negeri, Datuk Wira Latipah Omar berkata, menerusi pendekatan itu, pelbagai inisiatif berupa bimbingan telah dijalankan agensi kerajaan bagi membantu rakyat keluar dari kepompong kemiskinan.

Beliau berkata, antaranya termasuklah menerusi bimbingan perniagaan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) selain geran-geran yang turut diperuntukkan oleh pelbagai agensi untuk memulakan perniagaan.

“Seperti contoh, ada golongan wanita yang ingin berniaga kek, kita akan bantu beri ilmu supaya mereka boleh menjadi lebih kreatif dalam dunia teknologi masa kini.

“Dengan ilmu, mereka akan diajar cara pemasaran yang betul mengikut arus kemodenan masa kini yang perlu hidup dengan suasana norma baharu.

“Kita tidak boleh lagi terlalu berharap kepada bantuan semata-mata tanpa ikhtiar hidup,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini di pejabatnya.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri itu berkata data terkini kerajaan sejak pandemik COVID-19 melanda menunjukkan garis kemiskinan kini semakin meningkat menjadikan lebih ramai rakyat termasuk dalam kategori miskin tegar.

Situasi itu, jelasnya membuatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa menilai semula individu yang dibantu untuk memberi peluang penerima baharu mendapat bantuan.

“Jadi, saya menasihatkan sesiapa sahaja, berbelanjalah secara berhemah. Jika boleh sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini lakukanlah sesuatu untuk menjimatkan perbelanjaan.

“Kalau ada tanah tu, usahakanlah selagi mana ia dapat mengurangkan perbelanjaan kita kerana tiada siapa yang tahu bilakah pandemik ini akan berakhir,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

457
Kongsi :
Previous post Melaka cadang ubah format bantuan JKM
Next post Dua kluster baharu di tempat kerja, empat kematian
Ubah saiz-+=