Melaka cadang ubah format bantuan JKM

Masa Membaca:1 Minit, 33 Saat

AYER KEROH 7 Julai – Melaka bercadang mengubah format penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut mendapat bantuan barangan keperluan selain tunai setiap bulan.

Exco Kebajikan Negeri Datuk Wira Latipah Omar berkata, cadangan yang dalam peringkat kajian itu menjadikan penerima mendapat dua bentuk bantuan iaitu makanan dan wang yang akan disalurkan ke dalam akaun penerima.

Mengambil contoh penerima bantuan bulanan bernilai RM500, beliau menjelaskan bantuan itu akan dibahagikan mengikut format RM250 berbentuk makanan asas dan baki RM250 untuk mereka membeli keperluan lain.

“Mungkin kita akan melantik panel di sesebuah kedai dan penerima bantuan boleh membeli barang makanan berjumlah RM250 di kedai terbabit, kemudian penerima ada lagi baki RM250 dalam bank untuk kegunaan seperti bayar bil api air dan sebagainya.

“Sebelum ini semua bantuan dimasukkan ke dalam akaun penerima dan kadang-kadang timbul masalah seperti anak pegang kad ibu bapa dan menggunakan wang berkenaan untuk perbelanjaan lain.

“Jadi, saya secara peribadi memang bersetuju dan menganggap cara ini lebih mudah dan memberikan lebih impak kepada putaran ekonomi. Namun, sehingga kini ia masih dalam peringkat kajian secara teliti,” katanya dalam wawancara khas bersama Melaka Hari Ini di pejabatnya.

Mengulas lanjut mengenai bantuan bulanan JKM, Latipah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita dan Pembangunan Keluarga negeri berkata bahawa bantuan JKM sebenarnya bukanlah diberikan seumur hidup.

Katanya, ia berikutan wujud salah faham dalam kalangan segelintir pihak yang mula mempersoalkan mengapa bantuan bulanan mereka dihentikan selepas beberapa tempoh masa, sedangkan peraturan sudah menjelaskan ia diberukan untuk tempoh dua tahun sahaja.

“Memang syaratnya ialah bantuan untuk tempoh dua tahun. Selepas dua tahun, JKM akan mengkaji semula dan sekiranya didapati keluarga itu sudah mempunyai sumber pendapatan lain, ia akan dihentikan dan diberikan kepada orang lain yang lebih layak.

“Perlu ingat, bantuan ini untuk meringankan beban dan ia bukannya untuk menanggung keseluruhan kos hidup keluarga mereka seumur hidup,” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

643
Kongsi :
Previous post PKPD seluruh daerah Seremban berkuat kuasa 9 Julai
Next post ‘Beri pancing, bukan ikan’ – Latipah
Ubah saiz-+=